KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Rockestra 5.0 dan Festival Rock selama tiga hari bermula Jumaat ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.
Dalam kenyataan hari ini, DBKL berkata festival dari 17 hingga 19 Julai itu bertujuan menghimpunkan elemen persembahan muzik, warisan budaya, komuniti kreatif dan apresiasi seni dalam satu penganjuran berskala besar.
“Program ini merupakan antara pengisian utama Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 yang bertujuan menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai sebuah ruang seni terbuka yang menjadi wadah buat penggiat seni, pemuzik, komuniti kreatif dan masyarakat menikmati persembahan berkualiti di tengah-tengah ibu negara,” menurut kenyataan itu.
Lebih 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur akan bergandingan bersama-sama barisan penyanyi rock terkenal iaitu Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, CDNaz, King Shah (Metalasia) dan Ca-ah pada acara kemuncak Rockestra 5.0 yang berlangsung pada 18 Julai.
“Acara itu bagi mempersembahkan karya-karya malar segar dalam dimensi baharu yang lebih epik, dramatik dan bertaraf orkestra, tanpa menghilangkan identiti asal muzik rock tempatan,” katanya.
Festival itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan artis dan kumpulan rock, forum, sesi bual bicara, pameran komuniti, jualan cenderamata serta aktiviti interaktif yang mengetengahkan sejarah, evolusi dan legasi muzik rock Malaysia.
Orang ramai juga berpeluang menyaksikan sendiri proses di sebalik penganjuran konsert menerusi sesi latihan bunyi (soundcheck) Rockestra 5.0, selain mendekatkan peminat dengan artis, pemuzik dan komuniti yang telah lama mewarnai industri muzik tempatan. – BERNAMA



