DATUK Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Austria, Tuan Yang Terutama Ikram Mohammad Ibrahim, di pejabat beliau di Vienna, Austria, baru-baru ini. Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, serta rombongan dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar telah mendengar taklimat dan penerangan daripada berkaitan perkembangan terkini hubungan dua hala antara Malaysia dengan Austria, khususnya dalam bidang industri dan perniagaan.
Beliau turut membincangkan inisiatif Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ke arah bandar raya rendah karbon, terutamanya berkaitan transisi kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui yang dipelopori oleh negeri ini di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Rombongan DBKU turut disertai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Infrastruktur Mohamad Faisal Adenan dan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti Rudzaimeir Malek.
Hilmy bersama-sama rombongan berada di Vienna, Austria bagi menghadiri World Cities Summit Mayors Forum yang berlangsung dari 2 hingga 4 Julai lalu.






