PERTANDINGAN Debat Piala Datuk Bandar Kuching Utara Peringkat Negeri Sarawak 2026 dianjurkan dalam skala lebih besar dengan penyertaan sekolah dari pelbagai daerah di seluruh Sarawak bagi melahirkan generasi muda berilmu, berdaya saing dan berkepimpinan.
Pertandingan anjuran Perpustakaan Bandaraya Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching itu berlangsung dari 11 hingga 14 Mei lalu.
Sebanyak 18 PPD mengambil bahagian, antaranya Kuching, Bintulu, Miri, Sibu, Sri Aman, Limbang, Kapit, Sarikei dan Samarahan. Pusingan awal diadakan di SMK St. Thomas, Kuching manakala pusingan akhir berlangsung di Auditorium DBKU.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman di Auditorium DBKU hari ini.
Pertandingan itu menjadi platform memperkasakan budaya ilmu, pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi pelajar menerusi seni perbahasan, teknik debat serta penyampaian hujah secara matang dan profesional.
Dalam pertandingan itu, johan membawa pulang RM1,500, naib johan RM1,000, tempat ketiga bersama RM500 dan tempat kelima RM200. PPD Bintulu muncul johan, diikuti PPD Miri selaku naib johan, manakala PPD Meradong dan PPD Sri Aman meraih tempat ketiga bersama.
Bagi kategori individu, Mohd Syafiq Akid dari PPD Bintulu memenangi anugerah Pendebat Terbaik Piala Datuk Bandar, manakala Mariana Anak Margaret dari PPD Bintulu menerima anugerah Pendebat Terbaik Generasi MADANI. Turut hadir Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan DBKU.



