BAHANG kemunculan kumpulan rock popular dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), di Malaysia semakin terasa apabila penganjur mengumumkan pembukaan zon tambahan bagi kategori Tier 3 sempena konsert My Chemical Romance South East Asia 2026.
Pengumuman itu memberi harapan baharu kepada peminat tegar kumpulan yang popular menerusi lagu Helena berkenaan peluang terakhir untuk mendapatkan tiket konsert berkenaan dibuka pada 22 Oktober lalu.
Konsert yang bakal berlangsung di Stadium TM Nasional, Kuala Lumpur, itu dijangka menjadi antara persembahan muzik antarabangsa yang dinanti-nantikan peminat tempatan, khususnya pengikut setia MCR yang dikenali sebagai Killjoys.
Perkara itu diumumkan oleh penganjur, Hello Universe, menerusi platform media sosial GoLive Asia, sekali gus membuka peluang kepada peminat yang terlepas mendapatkan tiket ketika jualan terdahulu.
Pembukaan zon tambahan itu juga diumumkan ketika perbincangan mengenai konsert berkenaan semakin rancak dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk dakwaan mengenai kemungkinan pembatalannya susulan promosi yang dikatakan kurang menonjol menjelang tarikh persembahan.
Bagaimanapun, pengumuman terbaharu penganjur itu memberikan gambaran bahawa persiapan untuk menganjurkan konsert berkenaan masih diteruskan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, penganjur menyifatkan pembukaan zon tambahan Tier 3 sebagai peluang terakhir untuk peminat menyaksikan persembahan MCR secara langsung di Kuala Lumpur.
“Peluang akhir untuk menonton My Chemical Romance secara langsung di Kuala Lumpur.
“Zon tambahan di bahagian Tier 3 akan dibuka untuk siri jelajah My Chemical Romance South East Asia 2026.
“Bagi mereka yang terlepas mendapatkan tiket sebelum ini, inilah peluang untuk mendapankannya dan menjadi sebahagian daripada pengalaman tersebut,” menurut kenyataan itu.
MCR yang terkenal menerusi album ikonik The Black Parade mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan muzik rock alternatif dan emo, khususnya dalam kalangan generasi muda sejak awal 2000-an.
Lagu seperti Welcome to the Black Parade, Famous Last Words, I’m Not Okay (I Promise) dan Helena terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar, sekali gus menjadikan kumpulan itu antara nama besar yang mempunyai pengikut setia merentas generasi.
Kepulangan MCR ke pentas Asia Tenggara menerusi siri jelajah 2026 turut mencetuskan keterujaan, terutama dalam kalangan peminat yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan Gerard Way dan anggota kumpulannya beraksi secara langsung.
Dengan pembukaan zon tambahan itu, Killjoys kini mempunyai satu lagi peluang untuk menyaksikan persembahan kumpulan kegemaran mereka secara langsung.
Bahang konsert MCR semakin terasa menjelang kemunculan kumpulan itu di pentas Kuala Lumpur pada 19 dan 20 November ini.




