ARTIKEL

“SAYA tak gila. Mengapa saya perlu jumpa kaunselor?”

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“SAYA tak gila. Mengapa saya perlu jumpa kaunselor?” Persoalan sebegini mungkin kedengaran mudah, namun mencerminkan persepsi yang masih wujud dalam sebahagian masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling.

Bagi sesetengah individu, mendapatkan khidmat kaunselor masih dianggap dengan kelemahan diri, kegagalan mengurus kehidupan atau masalah kesihatan mental yang serius. Persepsi ini bukan sahaja kurang tepat, malah boleh menghalang seseorang daripada mendapatkan bantuan pada peringkat awal.

Hakikatnya, kaunseling bukan hanya untuk orang yang bermasalah. Sebaliknya, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan cabaran kehidupan, mahu memahami diri dengan lebih baik, memperbaiki hubungan, membuat keputusan atau sekadar memerlukan ruang selamat untuk didengari.

Setiap manusia melalui perjalanan kehidupan yang berbeza. Ada masa kita yakin dengan diri sendiri, namun ada ketika berasa keliru dan terbeban dengan tuntutan kehidupan. Konflik keluarga, tekanan kerja, masalah kewangan, persoalan kerjaya dan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan merupakan sebahagian daripada pengalaman manusia.

Keadaan tersebut tidak semestinya menunjukkan seseorang mengalami masalah mental. Adakalanya, mereka hanya memerlukan ruang professional untuk memahami keadaan diri dan melihat sesuatu permasalahan daripada perspektif yang lebih jelas. Oleh itu, sudah tiba masanya masyarakat mengubah cara melihat kaunseling. Mendapatkan bantuan profesional bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kesedaran kendiri dan keberanian untuk bertanggungjawab terhadap kesejahteraan diri.

Jika seseorang mendapatkan rawatan apabila mengalami masalah kesihatan fizikal, tidak sepatutnya timbul rasa malu apabila mendapatkan bantuan bagi menghadapi cabaran emosi, hubungan atau kehidupan. Bantuan pada peringkat awal juga penting bagi mengelakkan sesuatu cabaran berkembang menjadi masalah yang lebih kompleks.

Kaunseling tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai intervensi ketika krisis berlaku. Peranannya lebih luas, merangkumi pencegahan, pembangunan diri, pendidikan, kerja, penyesuaian, hubungan interpersonal, keluarga dan kesejahteraan.

Pelajar misalnya boleh mendapatkan kaunseling bagi mengadapi tekanan akademik, menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti atau menentukan hala tuju kerjaya. Pekerja pula mungkin memerlukan sokongan untuk mengurus tekanan pekerjaan, konflik interpersonal dan keseimbangan kehidupan dengan kerjaya.

Begitu juga pasangan yang mahu memperbaiki komunikasi serta ibu bapa yang memerlukan panduan memahami cabaran membersarkan anak-anak. Semua ini membuktikan kaunseling bukan sekadar berkaitan masalah, tetapi turut membantu manusia berkembang dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Dalam dunia yang semakin pantas, manusia semakin mudah berhubung tetapi tidak semestinya semakin mudah difahami. Media sosial dan pelbagai platform digital membolehkan kita berinteraksi dengan ramai orang, namun jumlah kenalan tidak menjamin seseorang mempunyai ruang selamat untuk berkongsi beban yang ditanggung. Ada individu yang kelihatan ceria di hadapan orang lain, tetapi sebenarnya sedang berjuang secara senyap. Ada juga yang sentiasa menjadi tempat orang lain meluahkan masalah, namun tidak mempunyai ruang untuk berkongsi persoalan sendiri.

Dalam keadaan ini, peranan kaunselor sebagai profesional yang mendengar, memahami dan membantu menjadi semakin penting. Hubungan kaunseling menyediakan ruang untuk seseorang bercakap secara terbuka berdasarkan prinsip etika, kerahsiaan dan penerimaan. Mereka tidak perlu sentiasa kelihatan kuat sebagai pekerja, ibu bapa, pasangan, anak atau pelajar. Sebaliknya, mereka berpeluang memahami emosi, pemikiran, kekuatan dan cabaran diri. Kadangkala, apa yang diperlukan bukanlah seseorang yang terus memberikan jawapan, tetapi individu profesional yang membantu kita menemukan melalu proses yang betul.

Kesedaran terhadap kepentingan kaunseling juga perlu diperkukuh dalam konteks masyarakat Malaysia yang semakin kompleks. Perkhidmatan ini wajar menjadi sebahagian daripada ekosistem kesejahteraan masyarakat dan bukan hanya tersedia apabila seseorang berada dalam keadaan krisis. Dalam konteks Sarawak, aspek akses perlu penting mendapatkan keluasan geografi negeri, kewujudan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman serta kepelbagaian komuniti yang memerlukan pendekatan penyampaian perkhidmatan bersesuaian.

Usaha memperluas akses boleh diperkukuh melalui perkembangan teknologi. Telekaunseling dan platform digital, apabila dilaksanakan mengikut garis panduan serta etika professional, berpotensi mendekatkan perkhidmatan kepada individu yang berhadapan kekangan jarak, masa atau mobiliti.

Bagaimanapun, teknologi hanyalah medium kerana empati, kepercayaan, penerimaan dan hubungan professional tetap menjadi teras proses kaunseling. Pada masa sama, kesejahteraan kaunselor sendiri tidak boleh diabaikan. Dalam membatu masyarakat, kaunselor berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan, tuntutan emosi, pengurusan kes, dokumentasi dan tanggungjawab profesional.

Ketidakseimbangan antara jumlah penduduk dengan taburan tenaga kaunselor di sesetengah kawasan berpotensi meningkatkan beban tugas serta tekanan kerja, sekali gus menyumbang kepada keletihan profesional atau burnout. Justeru, memperkasakan perkhidmatan kaunseling turut bermaksud memperkasakan kaunselor melalui pengagihan beban kerja yang munasabah, sokongan organisasi, penyeliaan professional, pembangunan kompetensi dan ruang pemulihan sewajarnya.

Kita mahu masyarakat berani berkata, “Saya perlukan bantuan”, tetapi pada masa sama perlu memastikan kaunselor mempunyai sistem sokongan yang membolehkan mereka terus menjalankan amanah profesional dengan baik. Kesejahteraan kaunselor bukan perkara sampingan, sebaliknya sebahagian daripada usaha memastikan perkhidmatan berkualiti dapat diberikan kepada masyarakat.

Perubahan paling penting ialah perubahan budaya. Kita perlu bergerak daripada budaya memandang kaunseling sebagai tempat orang bermasalah semata-mata. Sebaliknya, melihat ia sebagai ruang profesional untuk memahami diri, mengurus cabaran, membina hubungan lebih sihat, membuat keputusan dan mengembangkan potensi.

Kesedaran ini perlu bermula daripada keluarga, sekolah, institusi pendidikan, tempat kerja, organisasi dan komuniti. Apabila masyarakat tidak lagi malu mendapatkan bantuan, kita sebenarnya sedang membina budaya yang lebih prihatin dan matang terhadap kesejahteraan manusia.

Pada akhirnya, masyarakat sejahtera bukanlah masyarakat yang tidak pernah menghadapi masalah. Sebaliknya, masyarakat yang mempunyai keberanian mengakui keperluan mendapatkan bantuan, akses kepada perkhidmatan bersesuaian dan tidak menghukum individu yang memilih sokongan profesional.

Kita tidak perlu menunggu seseorang jatuh sebelum menghulurkan tangan. Kadangkala, satu soalan mudah seperti “Awak okay?” Boleh menjadi permulaan kepada hubungan yang menyelamatkan harapan seseorang. Daripada stigma kepada kesedaran, daripada memendam kepada berkongsi dan daripada takut meminta bantuan kepada berani mendapatkan sokongan, inilah perubahan yang perlu kita bina bersama.

Kaunseling bukan pengakuan bahawa kita gagal mengurus kehidupan. Sebaliknya, ia merupakan pengiktirafan bahawa kita ialah manusia yang sentiasa belajar, berkembang dan berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Marilah kita mengangkat satu mesej yang mudah tetapi bermakna: Kaunseling bukan hanya untuk mereka yang bermasalah, tetapi untuk kita semua.

Meminta bantuan bukan kelemahan, mendengar bukan sekadar tugas dan menjaga kesejahteraan bukan pilihan terakhir. Sebaliknya, semuanya sebahagian daripada usaha membina manusia, keluarga, organisasi dan masyarakat yang lebih sihat, berfungsi, daya tahan serta sejahtera.

  • Penulis ialah Pensyarah Kaunseling UNIMAS.

BERITA LAIN

Hotel antarabangsa perkukuh industri hospitaliti Sarawak

KUCHING: Penambahan hotel bertaraf antarabangsa dijangka meningkatkan keupayaan Kuching menampung pertambahan pelancong serta menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang

AirBorneo sasar laluan ke Bangkok, Korea Selatan

KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) merancang memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa ke Bangkok, Thailand serta Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan, dengan sasaran pelaksanaan

BERITA TERBARU