ARTIKEL

Detik bersejarah Batang Lupar

NAZIRY HARIZAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tanggal 21 Mei lalu menjadi detik bersejarah, khasnya kepada penduduk pesisir di Sarawak apabila Jambatan Batang Lupar 1 yang terletak di muara sungai Batang Lupar akhirnya dibuka kepada pengguna jalan raya.

Laluan sungai yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan feri, sekali gus berubah wajah dan kini boleh dilalui tanpa mengira waktu.

Pada bila-bila masa sahaja, pengunjung dapat menyeberangi sungai besar yang memisahkan kawasan Sebuyau dan Triso itu dengan lebih mudah.

Menyingkap kembali laluan tersebut, sesiapa sahaja yang pernah menggunakan perkhidmatan feri di situ semestinya lebih memahami kepentingan Jambatan Batang Lupar 1 sebagai pengganti perkhidmatan feri.

Mana tidaknya, keadaan menjadi perit ketika menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak.

Pada waktu itu, perkhidmatan feri seolah-olah bergantung pada nasib. Jika bernasib baik, pengguna hanya perlu menunggu kira-kira setengah jam untuk menyeberang.

Namun begitu, jika sebaliknya berlaku, pengguna berkemungkinan terpaksa menunggu sepanjang hari sebelum berpeluang menaiki feri tersebut.

Itu belum lagi ketika menaiki feri dalam keadaan air pasang besar serta keadaan sungai yang tidak menentu akibat tiupan angin kencang.

Pada waktu itu, sesiapa sahaja boleh berasa cemas sehingga ada ketikanya kedengaran individu melaungkan azan, seolah-olah memohon agar dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini sepanjang perjalanan.

Sudah pasti suasana itu menjadi antara kenangan yang tidak akan dilupakan oleh mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut sepanjang kira-kira 13 tahun perkhidmatan feri itu beroperasi sebelum ditamatkan pada tarikh keramat berkenaan.

Daripada mengambil masa lima jam sebelum ini, perjalanan merentasi Batang Lupar kini hanya memakan masa sekitar lima minit untuk tiba di kedua-dua destinasi, sama ada dari Triso ke Sebuyau mahupun dari Sebuyau ke Triso.

Terdahulu, majlis prapelancaran jambatan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sekali gus menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir ke lokasi untuk merasai detik bersejarah itu.

Sejurus selepas itu, media sosial dipenuhi pelbagai perkongsian seperti gambar dan video pendek oleh para pengunjung yang hadir ke lokasi tersebut. Rata-rata mereka gembira dan teruja terhadap pembukaan jambatan yang telah lama dinantikan itu.

Keterujaan terhadap pembukaan jambatan tersebut bukan sahaja diraikan oleh penduduk setempat, malah turut menerima respons positif daripada pengunjung luar kawasan pesisir.

Buktinya, slot Program Separuh Maraton Jambatan Batang Lupar 1 2026 yang memperuntukkan penyertaan kepada 1,000 peserta penuh dalam tempoh kurang sehari selepas dibuka kepada orang ramai.

Program anjuran Jabatan Kerja Raya Sarawak itu yang merangkumi tiga kategori, iaitu 21 kilometer (km), 10 km dan 5 km, bukan sahaja mendapat perhatian ramai, malah kuota 1,000 peserta itu dilihat tidak mencukupi berikutan orang ramai meluahkan kekecewaan selepas terlepas peluang menyertai program yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai ini.

Usaha keras kerajaan pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi bukti pembangunan kawasan pesisir tidak ketinggalan dalam arus pembangunan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh di Bumi Kenyalang.

Sudah pasti pembukaan jambatan tersebut membawa manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya dari segi ekopelancongan di kawasan pesisir. 

Melihat kepada pembangunan di kawasan itu sendiri, tidak mustahil kawasan berhampiran seperti Kampung Sebuyau, Triso, Maludam, Semarang, Sepinang dan Beladin akan menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung pada masa akan datang.

Dari bandar raya Kuching, pengguna jalan raya hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba di jambatan tersebut. Dari jambatan itu pula, mereka hanya memerlukan antara 10 hingga 20 minit untuk sampai ke kampung-kampung berhampiran.

Pemandangan di sekitar jambatan itu sendiri sudah cukup indah untuk dinikmati, apatah lagi jika pengunjung melalui kawasan perkampungan untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat setempat yang kebanyakannya menjalankan aktiviti perikanan dan pertanian sebagai sumber utama pendapatan harian.

Antara destinasi yang dijangka menjadi tumpuan ialah Kampung Maludam berikutan kampung yang majoriti penduduknya beragama Islam itu mempunyai keunikan tersendiri.

Antaranya termasuk pemandangan pantai yang indah serta taman negara yang menjadi habitat spesies istimewa, iaitu kera belanda, sejenis monyet berhidung mancung yang jarang ditemui di tempat lain.

Sementara itu, di Beladin pula, pengunjung dapat menikmati suasana perkampungan yang menarik dengan pemandangan kawasan tebing yang dipenuhi kapal-kapal besar yang difahamkan dibina hasil tangan penduduk tempatan sendiri.

Ditambah pula dengan pelbagai makanan berasaskan hasil laut yang menarik, keadaan itu berpotensi menarik perhatian pengunjung yang melalui kawasan tersebut.

Namun begitu, yang paling utama ialah kewujudan laluan yang menghubungkan Triso dan Sebuyau itu semestinya menjadi antara infrastruktur yang membawa manfaat besar kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya penduduk di kawasan pesisir.

Tiada lagi kedengaran keluhan daripada pengguna perkhidmatan feri, malah tiada lagi rungutan tentang keadaan pasang surut air ketika menggunakan perkhidmatan yang suatu ketika dahulu menjadi antara nadi utama penduduk di kawasan tersebut.

Kini, semuanya menjadi lebih mudah. Segala penantian akhirnya membuahkan hasil yang amat memberangsangkan.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU