Dewan makan SK Sungai Tunoh, Kapit dilanda banjir lumpur

KUCHING: Dewan makan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tunoh di Kapit dilanda banjir lumpur setebal satu kaki sejak jam 3 pagi tadi.

Menurut Jurucakap Sektariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mejar Ismail Mahedin, paras air ketika banjir lebih kurang lima kaki.

“Banjir hanya melanda dewan makan sekolah sahaja kerana berada di kawasan tanah rendah.

“Bangunan yang lain tidak terkena banjir kerana berada di tempat lebih tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Bagaimanapun, kata Ismail, sesi persekolahan bagi murid-murid berjalan lancar untuk hari pertama tahun ini.