ARTIKEL

Ibrahim Baki ketika merasmikan Majlis Penangguhan Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM 3.0 Satok di Dewan SK Combined di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Dewan SK Combined Bakal Dilengkapi Penyaman Udara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: SK Combined bakal menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pemasangan penyaman udara di dewan sekolah itu bagi meningkatkan keselesaan warga sekolah.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, beliau bersedia meluluskan peruntukan tersebut selepas dimaklumkan anggaran kos bagi menaik taraf kemudahan berkenaan.

“Alhamdulillah, tadi saya ada bertanya anggaran kos pemasangan penyaman udara kerana keadaan dewan agak panas. Insya-Allah, saya akan luluskan peruntukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM 3.0 Satok di Dewan SK Combined di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Satok berkata, sekolah berkenaan sebelum ini turut menerima beberapa peruntukan di bawah sokongannya.

“Ini termasuk RM100,000 bagi pembinaan bumbung baharu, RM250,000 untuk bilik kelas dan pejabat Pendidikan Khas serta RM100,000 lagi bagi menaik taraf kantin sekolah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata tema tahun ini iaitu “Percikan STEM: Menyalakan AI dan Impian Aeroangkasa” selari dengan hala tuju Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke arah ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan digital.

Tegas beliau, pendidikan STEM amat penting dalam melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta teknologi.

Untuk rekod, Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM 3.0 memasuki edisi ketiga selepas dua penganjuran terdahulu berjaya dilaksanakan di SK Rakyat dan SK Merpati Jepang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU