TANGAN Sameer masih menggigil dan menahan rasa marah yang dipendam setiap kali kawan-kawan mengejeknya. Buku latihan yang dipegangnya direnyuk sedikit. Bibir diketap rapat. Ruang kelas dipenuhi gelak tawa. Ejekan dihambur tanpa mengira perasaan Sameer. Arahan cikgu supaya semua pelajar diam, tidak diendahkan.
Bunyi rotan yang memukul permukaan meja seperti sudah lali. Tapak kasut sebelah kanan yang koyak membuatkan kawan-kawan Sameer merasakan perkara itu melucukan saat Sameer keluar dari kelas pada waktu rehat. Tali yang digunakan untuk menahan tapak kasut terpisah menarik perhatian. Bertalutalu soalan diajukan kepada Sameer.
Walau apa-apa pun, Sameer masih bersyukur dan menghargai setiap pemberian daripada orang tua. Pernah ayah bertanya, menyuruh Sameer menukar kasut baharu. Tetapi, Sameer menolak lembut kerana kasutnya masih boleh dipakai. Berbekalkan bantuan kerajaan yang diterima setiap tahun, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan keluarganya sebelum membeli keperluan yang lebih penting.
“Tukarlah,” ujar ayah Sameer. “Masih elok lagi, ayah” jawab Sameer. Pagi itu seperti biasa, Sameer duduk dalam kelas. Kebetulan, tempat duduk Sameer di belakang kelas. Subuh tadi sempat Sameer membantu ayahnya menoreh getah. Bau keping getah melekat pada tubuh Sameer dibiarkan sahaja. Sameer sendiri tidak kisah.
Lagipun cikgu-cikgu tidak pernah menegur bau itu. Dari belakang dapur, batuk mak Sameer jelas mencuri cuping telinganya. Puas Sameer memujuk maknya pergi berjumpa dengan doktor. Seolah, mencurahkan air ke daun keladi. Kata mak Sameer cuma membazir. Cawan berisi rebusan akar kayu hampir kosong. Dua minggu berlalu, batuk mak Sameer masih belum reda. Malahan, semakin teruk. Sameer mengeluarkan bekal berisi sarapan.
Di rumah tadi, Sameer tidak sempat makan ubi bakar yang disediakan ayahnya. Jam dinding hampir menunjukkan pukul 6.15 pagi. Sempat lagi Sameer menggalas perutnya. Biarpun cuma sebiji ubi kayu bakar sudah cukup mengenyangkan Sameer. Itulah kasih sayang paling mahal daripada seorang ayah. Suara ketawa membuatkan Sameer cepat-cepat menutup bekal dan memasukkan dalam laci meja. Tepi bibir dilap. Sameer tidak mahu kawankawannya mengejek rezeki awal pagi yang diberikan-Nya.
“Makan apa tu?” soalan itu memang sengaja ditanyakan Luqman. Luqman antara pelajar yang suka mencari gaduh dengan Sameer. Entah sampai bila Sameer akan bertahan dengan tindakan Luqman. Sameer terus membisu kerana tidak mahu mencetuskan pergaduhan. “Dah bisu, lepas makan ubi ke?” rongga hidung Luqman tajam sampai dapat menghidu bau itu. Luqman ketawa terbahak-bahak. Diikuti dua orang kawannya.
“Jangan kacau saya, boleh tak?” ujar Sameer sambil menunduk. “Awak siapa hendak bagi saya arahan tadi!” suara Luqman kasar sambil mencengkam rahang Sameer. Sameer cuba menepis tangan Luqman. “Saya nak makan apa, tak ada kena mengena dengan awak,” Sameer menepis lagi tangan Luqman. Namun, semakin kuat cengkaman itu. Belum sempat Luqman menumbuk Sameer, ketua pengawas datang menegur mereka. Luqman senyum sinis dan sempat memberi isyarat ugutan.
Tidak lama, berpusu-pusu pelajar lain memasuki kelas. Kelas pertama dimulakan tepat pukul 7.30 pagi. Sesekali, Luqman menoleh ke arah Sameer. Tanda Luqman tidak puas hati dengan Sameer. Kalau bukan ketua pengawas muncul tadi, tumbukannya dihadiahkan kepada Sameer. Loceng berbunyi menandakan sesi pagi persekolahan tamat. Mata Sameer terbeliak ketika melihat salah satu roda basikalnya hilang.
Sengaja Sameer jadi orang terakhir keluar dari kelas kerana tidak mahu bertembung dengan Luqman dan kawankawannya. Air matanya mengalir. Itulah satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk pergi dan pulang dari sekolah. Sameer sangat yakin itu adalah perbuatan Luqman. “Nangislah,” ejek Luqman. “Apa salah saya pada awak? Sampai awak rosakan basikal saya,” Sameer mencangkung sambil melihat keadaan basikalnya. “Basikal rosak, kasut koyak dan ubi kayu bakar.
Serasi sangat,” ketawa Luqman menarik perhatian pelajar lain. Ada yang berdiri mahu menyaksikan apa yang berlaku. “Cukuplah, Luqman.” Sameer menggenggam kemas jari-jemari. “Awak tu patut…” tanpa dapat ditahan lagi, satu tumbukan tepat ke wajah Luqman. Lalu, Sameer mengusap buku limanya. Nafasnya naik turun. Buat kali pertama sekian lama, Sameer memandang tepat mata Luqman tanpa mengalihkan pandangan. “Awak!” “Selama ni saya berdiam bukan lemah atau takut.
Tapi, saya tak nak buang masa dengan orang macam awak, Luqman!” Sameer menghembus nafas panjang. Penumbuk masih berdenyut. Kali ini, Sameer tidak mahu mengalah. “Awak tahulah nasib awak nanti!” Luqman tidak menyangka Sameer berani menumbuknya. Lalu, Luqman terundur sambil memegang pipinya. Rasa sakit menyerang wajahnya. Sameer tahu punca sebenar Luqman selalu membulinya.
Disebabkan Sameer selalu mendapat tempat pertama dalam kelas. Walaupun, keadaan Sameer serba kekurangan. Luqman sangat cemburu akan kejayaan Sameer. Luqman sengaja mahu menyakitkan hati Sameer dengan harapan Sameer akan berhenti sekolah. Biarlah pihak sekolah memutuskan tindakan nanti. Sameer mendongak. Pandangannya dihalakan ke wajah langit. Mungkin takdir masih berpihak pada Sameer. Dalam hati Sameer, dia berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan terhadap Luqman nanti.



