Setiap ibu bapa mahu melihat anak mereka anak mereka menjadi insan berguna dan mampu memberi sumbangan kepada bangsa serta agama.
Namun untuk mendidik anak bukan perkara mudah kerana banyak perkara perlu diberi perhatian, termasuk asuhan, bimbangan dan pendidikan terbaik.
Bagi pasangan ibu bapa Islam, sudah pasti pendidikan agama menjadi wadah terbaik untuk membentuk akidah.
Ini kerana iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.
Justeru, setiap ibu bapa perlu tanya diri, adakah mereka sudah membimbing serta mendidik anak-anak dengan akidah sebagai seorang Muslim yang taat kepada agamanya?
Justeru, asas pendidikan seharusnya diberikan keutamaan. Ini termasuk menanamkan akidah serta mengajar mereka berkenaan syariat dalam agama seperti solat, di samping membina akhlak peribadi berteraskan akhlak Islam.
Ia selaras dengan perintah Allah SWT dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam penghayatan kehidupan.
Sejak 15 kurun lalu, Islam sudah meletakkan kanak-kanak sebagai aspek yang perlu diberi perhatian utama.
Pada 1959, Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan undang- undang bagi melindungi kanak-kanak dengan usaha memberikan hak yang sepatutnya, baik terhadap permasalahan kesihatan, pendidikan, pemantapan akhlak dan sebagainya.
Semua usaha yang dilakukan PBB itu terkandung dalam ajaran islam yang suci.
Perhatiab utama tentunya mengajar mereka solat kerana solat adalah tiang agama.
Insya-Allah, jika baik solatnya, maka akan baik juga aspek lain. Jika buruk dan culas mendirikan solat, ia memberi petanda kurang baik masa depan mereka, khususnya pegangan agama.
Selain ibadah solat, ibu bapa juga tidak boleh sesekali mengabaikan pendidikan al- Quran.
Seandainya kurang ilmu dalam hal itu atau tidak mampu mengajar sendiri, ikhtiar lain mesti diusahakan supaya anak dapat membaca dan mahir dalam al-Quran.
Jika kita mahu anak sentiasa mendirikan solat menepati waktunya, maka kita mesti terlebih dahulu menunjukkan sikap demikian.
Ketaatan dan kepatuhan mereka dalam mendirikan syariat agama menjadi penanda arah kejayaan seseorang ibu bapa memeikul amanah Allah SWT.
Seandainya anak-anak liat dan kurang cakna terhadap amalan syariat agamanya, bermakna ada sesuatu kurang baik kepada masa depan kita di hadapan Allah SWT kelak.
Untung nasib kita sebagai ibu bapa bukan terbatas kepada amalan peribadi semata-mata, sebaliknya apa yang kita lakukan untuk memimpin ahli keluarga berlandaskan acuan Islam sebenar.
Ingatlah, kita tidak akan terlepas daripada disoal di hadapan Allah SWT kelak berkenaan amanah yang kita tunaikan di dunia ini.
Dalam mendidik anak- anak terdapat perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk dilakukan ibu bapa.
Ia termasuk mengelak memukul anak dari bahagian lutut dan ke atas.
Ibu bapa mungkin boleh memberi nasihat terlebih dahulu.
Kalau boleh kita sebagai ibu bapa mengelak menggunakan tangan atau anggota tubuh untuk memukul anak kerana tindakan ini menyebabkan anak-anak menjadi lebih nakal dan degil.
Kita sepatutnya mengajar anak solat dan memanggil mereka dengan panggilan yang baik.
Setiap kali anak-anak hendak ke sekolah, kita mungkin boleh memeluk mereka bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari mempunyai kekuatan IQ lebih kuat berbanding anak yang jarang dipeluk.
Setiap anak sudah pasti memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa.
Kita sebagai ibu bapa perlu memandang anak-anak dengan penuh kasih sayang bagi meningkatkan keyakinan diri mereka.
Memberi pujian setiap kali anak melakukan kebaikan merupakan antara pendekatan terbaik yang boleh diberi perhatian oleh ibu bapa.
Kita tidak boleh mengharapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan.
Ini kerana perkembangan semasa membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara, termasuklah melakukan kesilapan.
Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja, sudah pasti anak-anak di rumah akan menjadi penawar.
Kita perlu juga sentiasa mengambil berat dan ambil tahu mengenai perkembangan mereka.
Dalam membesarkan dan mendidik anak, kita perlu mengelak daripada mengeluh kerana anak-anak mungkin akan berasakan diri mereka sebagai beban.
Perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa ialah mencium anak-anak sebagai tanda kasih sayang sebelum mereka tidur.
Terimalah anak anda seadanya kerana kita bukan insan sempurna.
Didiklah anak mengikut lunas Islam kerana mereka akan menjadi penghalang kepada ibu bapa daripada api neraka.