GOLONGAN belia adalah cermin masa depan negara. Oleh sebab itu, kejayaan sesebuah negara bakal ditentukan oleh belia masa kini dalam mengendalikan kerajaan. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2021, seramai 15.1 juta orang atau 46.64 peratus penduduk di negara ini adalah terdiri daripada golongan belia yang berusia 15 tahun hingga 40 tahun.
Jumlah penduduk tersebut menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030 dijangkakan golongan belia ialah kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh dalam mencorak dan menentukan kepimpinan Malaysia pada masa akan datang. Statistik di Sarawak pula bagi tahun 2020, seramai 1.2 juta penduduk di Sarawak adalah terdiri daripada golongan belia berusia 15 tahun hingga 40 tahun.
Dalam usaha mendidik golongan belia menjadi pemimpin yang berkaliber, berintegriti dan dipercayai masyarakat sudah semestinya berdepan cabaran yang sukar apabila pelbagai perkara yang negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran belia masa kini. Trend kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja kini semakin membimbangkan di negara ini tidak mengira sama ada ia mangsa atau pelaku kes.
Antara kesalahan jenayah yang tertinggi membabitkan pelajar adalah berkaitan kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun. Baru-baru ini, empat remaja lelaki dikenakan hukuman berat di Mahkamah Kuching atas pelbagai kesalahan seperti remaja lelaki berusia 18 tahun merogol sepupu perempuan berusia 12 tahun dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan. Selain itu, dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun dan 15 tahun diperintahkan ke Sekolah Tunas Bakti bagi tempoh tiga tahun dan dalam pengawasan pegawai kebajikan selepas menjalani hukuman.
Seorang lagi remaja lelaki berusia16 tahun diperintahkan bon berkelakuan baik selama dua tahun kerana menyebabkan seorang pengawas sekolah menengah cedera parah selepas dibaling oleh pesalah muda itu menggunakan kerusi plastik semasa kejadian dalam dewan makan. Bilangan kes ini mungkin dilihat kecil tetapi ia memberi impak besar kepada masyarakat dan berkemungkinan besar, banyak agi kes-kes melibatkan pesalah juvana ini belum dilaporkan.
Isu-isu seperti ini tidak boleh dipandang ringan semua pihak, apatah pagi dunia kini tanpa sempadan dengan adanya teknologi maklumat untuk mempengaruhi remaja masa kini. Dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja, pendidikan awal dari rumah oleh ibu bapa amatlah penting. Jika melihat mendidik anak oleh ibu bapa 20 hingga 30 tahun dahulu dengan sekarang jauh berbeza apabila generasi Z dan Alpha kini kebanyakkan semua kemudahan disediakan oleh ibu bapa mereka tanpa perlu berusaha mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.
Secara amnya, anak-anak yang terlalu dijaga emosi, fizikal, intelek dan kesihatan tidak akan berasa kesusahan sehingga gagal menguasai kemahiran insaniah sekali gus boleh menyebabkan timbulnya pelbagai kes-kes jenayah melibatkan golongan ini. Oleh itu, ibu bapa perlu mengamalkan gaya keibubapaan yang sesuai dan tidak terlalu memanjakan anak-anak dengan memberikan apa yang mereka ingini serta harus mendidik mereka dengan kemahiran terutamanya apabila ibu bapa tidak bersama mereka lagi.
Dalam pada itu, hukuman undang-undang yang dikenakan kepada pesalah juvana ini juga wajar bagi memberikan pengajaran kepada mereka selain memberikan bimbingan kaunseling semasa mereka dalam tahanan. Pesalah muda ini, masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya mereka dapat berubah dan sebagai masyarakat kita hendaklah memberikan sokongan terhadap mereka ini ke arah hidup yang lebih positif.