SEKOLAH Rendah Islam Al-Amin Miri (SRIAAM) menganjurkan Program Sembelihan, Haji Cilik dan Sambutan Awal Muharam 1447H pada Khamis lalu.
Program ini memberi peluang kepada murid untuk mendalami makna pengorbanan melalui kisah Nabi Ibrahim A.S., serta memahami pelaksanaan ibadah haji dengan lebih dekat menerusi aktiviti simulasi Haji Cilik.
Aktiviti ini dilaksanakan secara berkumpulan bagi memupuk kefahaman yang mendalam tentang ibadah dalam Rukun Islam kelima.
Selain itu, murid turut didedahkan kepada sesi sembelihan korban secara langsung, sekali gus memberi mereka peluang untuk menyaksikan dan mempelajari proses sebenar ibadah tersebut mengikut syariat Islam.
Usaha ini menjadi medium pendidikan praktikal yang amat berkesan dalam menyemai nilai keagamaan sejak usia awal.
Sambutan Awal Muharam turut diserikan dengan bacaan doa akhir dan awal tahun, serta sesi muhasabah ringkas bagi mengajak murid mensyukuri nikmat Islam dan berazam memperbaiki diri pada tahun baharu Hijrah.
Guru Besar SRIAAM, Muallimah Husna menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha sekolah untuk melahirkan generasi soleh wa musleh, bukan sahaja baik secara peribadi tetapi juga mampu membawa kebaikan kepada masyarakat.
“Ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi satu tarbiah yang membentuk jiwa dan fi krah murid agar memahami Islam secara menyeluruh dan menyuburkan iman mereka sejak kecil,” katanya.
Semoga usaha berterusan seperti ini mampu melahirkan anak-anak yang soleh, berakhlak mulia dan bersedia memimpin masa depan dengan nilai-nilai Islam.



