SEKOLAH Rendah Islam Al-Amin Miri (SRIAAM) dengan kerjasama MyCare IKRAM Miri berjaya melaksanakan program Kongsi Rezeki Bersama, pada 24 Mac lalu.
Program ini bertujuan menyediakan platform bagi ibu bapa SRIAAM dan masyarakat umum untuk bersedekah sepanjang Ramadan.
Program ini juga mendidik murid tentang usaha kesukarelawanan dalam membantu golongan asnaf di kawasan Miri.
Seramai 40 keluarga asnaf, 13 staf SRIAAM dan lapan guru dari Tadika Taska AlAmin Aulad menerima sumbangan berupa 61 bakul makanan asas dan biskut raya.
Program ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM6,190 hasil sumbangan daripada ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti dijalankan sebelum dan semasa proses pengagihan sumbangan.
Pada 20 Mac lalu, pembelian barangan keperluan dilakukan bersama guru penasihat dan enam orang murid ahli Kelab Rakan Muda.
Seterusnya, pada 21 Mac lalu, sesi pembungkusan makanan dilaksanakan oleh murid-murid Tahap 2 SRIAAM.
Kemuncak program berlangsung pada 24 Mac lalu apabila pengagihan bantuan disertakan dengan majlis penyampaian yang dikendalikan oleh murid Tahun 6 Tabuk, dengan Aish Muhaimin sebagai pengerusi majlis.
Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektifnya, iaitu membantu golongan yang memerlukan serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan murid, ibu bapa dan warga sekolah.
Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan, demi manfaat masyarakat yang lebih luas.



