ARTIKEL

DNA Harimau Malaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KIM Pan Gon dan barisan pemain Malaysia meraih pengalaman dan pengajaran berguna dalam Pestabola Merdeka 2023 yang berakhir lewat malam kelmarin.

Walaupun hanya disertai tiga pasukan, namun Harimau Malaya mengaut input segera, mengharungi dua perlawanan yang cukup kompetitif.

India dan Tajikistan bukanlah nama besar, malah agak asing dalam dunia bola sepak, tetapi hakikatnya, mereka lebih baik daripada Malaysia, dari segi ranking mahupun persembahan, (India 102, Pakistan 110 dan Malaysia 134).

Oleh itu, kekalahan 2-0 kepada Tajikistan pada aksi final malam kelmarin bukanlah sesuatu yang mengejutkan, walaupun Malaysia terlepas beberapa peluang keemasan untuk mengimbangi kedudukan.

Realitinya barisan muda Tajikistan yang turun tanpa 15 pemain regular, lebih tersusun dan bijak menyerap tekanan, dan pintar mengambil peluang.

15 pemain utama mereka tidak mendapat pelepasan daripada kelab Istiklol, juara Liga Tajikistan. Malaysia pula melakukan kesilapan mudah, sehingga dibolosi dua kali, sesuatu yang harus dielakkan dalam saingan tahap tinggi.

Begitu juga ketika menentang India, walaupun menang 4-2, namun dari segi peluang dan penguasaan, India kelihatan lebih stabil, cuma nasib tidak mengiringi mereka.

Kesimpulan mudah daripada dua perlawanan ini ialah, tidak boleh melakukan kesilapan mudah, harus memanfaatkan peluang terhidang dan sentiasa ada ruang untuk melakukan kejutan, sebagaimana yang dilakukan Malaysia terhadap India.

Yang pasti, Harimau Malaya berjaya mengimbangi rentak lawan melalui asakan dari pelbagai penjuru, petanda yang sangat positif, sebagai persiapan mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026 November nanti dan Piala Asia 2024 pada Januari.

Perlawanan seperti inilah yang harus dilalui Malaysia dari semasa ke semasa, bukan lagi pasukan yang hampir sama ranking atau di ranking bawahan.

Cuma kita agak terkilan, Malaysia gagal mengulangi pencapaian ketika seri dengan China (ranking ke-80) dan Syria (ranking ke-93 dunia).

Hakikatnya Pan Gon berjaya menyuntik DNA Harimau Malaya, yang kelihatan garang menyerang, sentiasa teruja untuk mengambil peluang tanpa mengira status lawan.

Dalam tempoh kurang dua tahun Pan Gon kini meletakkan Malaysia di ranking ke-134, setelah bermula di ranking ke-154.

Ia bermakna, Malaysia sudah pun memanjat 20 anak tangga.

Skuad negara kelihatan sudah ‘keluar dari kepompong lama’ dengan penampilan lebih berani, lasak dan kental. Inilah bola sepak yang dimahukan Pan Gon, seiring falsafah Korea Selatan yang terkenal dengan kerja keras dan larian pantas sepanjang masa.

“Pasukan mana pun lawan kita… tidak seharusnya kita hanya bertahan, malah mesti menyerang, kerana menyerang itu sebahagian daripada cara terbaik untuk bertahan,” ujar Pan Gon.

Terlalu menyerang juga tidak bagus, sebagaimana pasukan Colombia pada Piala Dunia 1994 yang diramal juara, akhirnya tewas.

Seperti yang ditegaskan oleh pengulas bola sepak tersohor tanah air, Datuk Rahim Razali ketika itu…”Colombia asyik menyerang, tetapi lupa untuk bertahan.”

Hakikatnya, menyerang dari segenap penjuru adalah falsafah bola sepak Brazil ketika zaman kemuncak samba, 1958, 1962 dan 1970 yang diinspirasikan Pele sebagai tunjang utama.

Selepas itu, mereka mengalami perubahan demi perubahan kerana dipengaruhi bola sepak Eropah apabila kebanyakan pemainnya berhijrah.

Namun masih ada ciri-ciri samba, tetapi kurang berkesan, sehinggalah pada 1994 mereka kembali nenguasai dunia hasil gandingan serasi Romario dan Bebeto yang mengembalikan era samba. 

Selepas itu, Brazil kelihatan berubah drastik, dengan tidak lagi mengutamakan samba, tetapi tetap mampu juara pada 2002 menerusi kehebatan tiga R (Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo). Ia juga seiring bola sepak alaf baharu yang menuntut kepantasan dan kelasakan.

Falsafah Argentina pula agak unik. Ia kerana mereka memerlukan seorang personaliti atau ‘adiwira’ bagi membentuk kekuatan dan ia terbukti dalam skuad juara dunia tiga kali.

Pada 1986 mereka ada Diego Maradona, pada 1978 mereka ada Mario Kempes dan pada 2022 mereka ada Lionel Messi.

Walaupun bola sepak adalah sukan berpasukan, namun kehadiran seseorang personaliti juga amat penting.

Pada Piala Dunia 1986, Maradona seolah-olah sendirian mengemudi Argentina, walaupun hakikatnya, ketika itu mereka juga dibarisi beberapa bintang hebat seperti Burruchaga, Valdano dan Batista.

Sama seperti Messi ketika menerajui skuad 2022. Malaysia juga pernah mempunyai personaliti hebat pada era 70-an hingga 80-an, Allahyarham Mokhtar Dahari yang menjadi lambang kekuatan Harimau Malaya.

Sehingga kini belum menampakkan generasi baharu sehebat beliau, walaupun kita pernah melahirkan beberapa penyerang ternama yang sering dikaitkan dengan beliau, seperti Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan dan Safee Sali.

Sementara itu, Jerman pula terkenal sebagai pasukan yang mempunyai “kekuatan terkumpul”, yang tidak begitu mementingkan seorang adiwira. Inilah ramuan kejayaan mereka menjuarai empat Piala Dunia, termasuk lapan kali ke pentas final.

Kerjasama berpasukan yang erat dan unsur “set piece” sebagai senjata utama.

Pelan induk bola sepak Jerman dikatakan berasal dari England, apabila ia tidak digunakan oleh FA England sekitar era 80-an gara-gara pertelagahan pegawai atasan, lalu ia diberikan kepada Jerman oleh salah seorang pengasas pelan induk yang tidak sebulu dengan FA England. Yang pasti, Pan Gon kini membuktikan beberapa kejayaan awal, terutama layak ke Piala Asia 2024 secara merit.

Dengan adanya falsafah, dan DNA, Harimau Malaya mampu berlari lebih jauh, dan sudah pasti, temasya Piala Dunia menjadi sasaran selepas ini.

Dengan pertambahan pasukan, daripada 32 kepada 48 mulai Piala Dunia 2026, peluang Malaysia tentunya lebih baik untuk sekurangkurangnya pada Piala Dunia 2030 atau 2034. Lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia harus terus ke hadapan jika mahu bersaing dengan pasukan gergasi dunia.

LAIN-LAIN BERITA

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

Idam gelaran dunia

PETINJU profesional kebanggaan Sarawak, Dealoniel Mcdelon Bong, 25, bakal melangkah setapak lagi selepas mengharungi pertarungan “Path To Glory” Sabtu ini (17 Februari), menentang petinju Bangladesh,

BERITA TERBARU