NAHAS helikopter yang membawa empat kakitangan Pejabat Kesihatan Miri beberapa jam sebelum artikel ini ditulis mengejutkan kita.
Helikopter jenis Bo-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF ini disewa daripada Layang-Layang Aerospace dan berkhidmat sebagai pesawat pengangkutan perubatan kecemasan atau dikenali sebagai “doktor udara” dengan pengenal “Medic 3”.
Lazimnya doktor udara ini terbang dengan membawa seorang pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang penolong pegawai perubatan – dengan misi untuk melakukan pemeriksaan dan perawatan ke destinasi yang telah dirancang.
Dalam kes ini, helikopter terbabit terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang STOLport Long Lellang sekitar jam 3.40 petang.
Berdasarkan visual yang tersebar di media sosial, ketika itu pesawat menghampiri landasan dalam keadaan bahagian atasnya terbakar.
Laporan awal menyebut, pasukan penyelamat dan perubatan tiba di lokasi sekitar jam 3.46 petang namun helikopter terbakar teruk.
Tidak diketahui akan nasib mangsa, kerana pihak berautoriti masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. Menurut Pengarah Kesihatan Sarawak Dr. Veronica Lugah, perkhidmatan doktor udara (PDU) ketika ini melakukan penerbangan di 97 lokaliti di seluruh Sarawak, terutama di kawasan pedalaman Kapit, Miri dan Limbang yang tidak memiliki akses darat atau terlalu jauh di pedalaman.
PDU bermula pada 25 September 1973 di Sarawak, sebelum diperluas ke Sabah pada 1975.
Pada peringkat awalnya, ia mendapat bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia, dengan helikopter digunakan untuk membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui pengangkutan darat atau sungai. Kenapa doktor udara ini diperkenalkan?
Ia sebenarnya bertujuan membawa perubatan moden kepada penduduk yang tinggal di kawasan terpencil.
Akses kepada rawatan kesihatan yang lebih baik diharapkan dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf sosial dan produktiviti ekonomi mereka.
Perkhidmatan ini juga berkait rapat dengan ancaman komunis di Sarawak sekitar tahun 1970-an.
Melalui doktor udara, kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan terus kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman serta memastikan penduduk tidak mudah dipengaruhi unsur-unsur subversif.
Selain itu, melalui khidmat ini juga, perkhidmatan perubatan dan kesihatan antara kawasan bandar dengan pedalaman dapat dirapatkan.
Fasa pertama PDU bermula pada Oktober 1973 dan melibatkan 40 lokasi dengan jumlah penduduk seramai 31,893 orang.
Fasa kedua kemudian berlangsung dari Januari hingga Mac 1975.
Kali ini, liputannya diperluas kepada 66 lokasi melibatkan 69,854 penduduk.
Ia juga melibatkan dua helikopter sewa khas yang ditempatkan di pangkalan di Kuching dan Miri bagi menyokong operasi.
Dari April hingga Oktober 1975, operasi memasuki fasa ketiga dan menjangkau 121 kawasan dengan jumlah penduduk 202,516 orang.
Ini diikuti fasa keempat dari November hingga Disember 1975.
Kawasan yang dilawati meningkat kepada 153 lokasi melibatkan populasi seramai 221,730 orang.
Bagi kawasan pedalaman Sarawak, pemilihan helikopter mempunyai alasan yang cukup jelas. Ini kerana ia boleh berlepas dan mendarat secara menegak tanpa memerlukan landasan panjang dan rata.
Dalam konteks pedalaman Sarawak, kelebihan ini sangat penting.
Ruang kosong yang sesuai seperti padang sekolah, kawasan lapang berhampiran rumah panjang atau kawasan tebing sungai yang selamat boleh digunakan sebagai zon pendaratan, tertakluk kepada penilaian keselamatan operasi.
Di tempat seperti Long Singut, Pa’ Berunut dan Long Adang, kehadiran helikopter dapat memendekkan masa perjalanan yang mungkin mengambil masa berjam-jam melalui sungai atau jalan balak.
Justeru dengan menggunakan helikopter, liputan akan menjadi lebih luas dan pantas.
Helikopter juga mempunyai kelebihan dari segi kebolehan melakukan penerbangan pegun.
Dalam operasi tertentu, keupayaan ini membantu juruterbang menilai keadaan muka bumi dan kawasan pendaratan sebelum mendarat.
Namun, kelebihan tersebut tidak bermakna penerbangan ke pedalaman adalah mudah. Sebaliknya, ia menuntut tahap kemahiran, disiplin dan perancangan yang tinggi.
Antara helikopter yang pernah berkhidmat sebagai doktor udara di Sarawak ialah Bell 206 JetRanger, Bell 206 LongRanger dan Messerschmitt-Bölkow-Blohm Bo 105.
Helikopter Bo 105 menawarkan enjin kembar dan memiliki kelebihan dari sudut redundansi sistem kuasa. Ia menjadi amat penting dalam meningkatkan margin keselamatan bagi operasi yang dijalankan di persekitaran mencabar seperti gunung dan hutan tebal.
Selain membawa doktor ke kampung-kampung untuk pemeriksaan rutin, PDU turut menerbangkan pesakit dari kawasan pedalaman ke hospital.
Sehingga 1976, seramai 66,021 orang telah mendapat perkhidmatan tersebut, dengan 349 pesakit dihantar ke hospitalhospital bahagian untuk rawatan lanjut, dalam operasi yang dikenali sebagai Medical Evacuation (MEDEVAC).
Menjelang Jun 2015, PDU memiliki sembilan pasukan dan beroperasi di Kuching, Simanggang, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Kota Samarahan dan Bintulu.
Menurut Dr. Veronica, lawatan ke kawasan berkenaan sasaraan lazimnya dijalankan sebulan sekali, manakala sesetengah lokasi menerima perkhidmatan setiap dua bulan bergantung kepada kapasiti operasi.
Katanya, walaupun berdepan cabaran logistik dan kos tinggi, perkhidmatan ini tidak terjejas dan akan diteruskan kerana ia amat penting kepada penduduk di kawasan terpencil.
Menariknya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mempertimbangkan penggunaan PDU bagi membawa pasukan pergigian ke komuniti pedalaman Sarawak yang tidak dapat diakses melalui jalan raya.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, cadangan itu antara pendekatan yang sedang dikaji bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil tidak dinafikan pemeriksaan dan rawatan pergigian.
“Jika ia boleh diintegrasikan dengan PDU, perkhidmatan itu boleh dihantar menggunakan helikopter.
“Kita tidak mahu penduduk yang tinggal jauh di pedalaman tercicir,” katanya.
Sementara itu, usaha memperkasakan khidmat PDU turut mendapat sokongan luar melalui penyediaan peralatan perubatan untuk pasukan yang beroperasi di kawasan pedalaman.
Di Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, PDU menerima peralatan perubatan bernilai RM135,293 daripada Defense Security Cooperation Agency (DSCA) Amerika Syarikat melalui Program Bantuan Overseas Humanitarian, Disaster and Civic Aid (OHDACA) bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti terpencil di Ulu Baram.
Antara peralatan yang diterima ialah dua mesin ultrabunyi mudah alih, empat alat defibrilator automatik luaran (AED), dua konsentrator oksigen mudah alih, tiga beg trauma perubatan berkapasiti 90 liter, dua alat pengukur bilirubin mudah alih serta dua stesen kuasa mudah alih.
Yang pasti, tragedi ini tidak akan menghalangkan usahausaha doktor udara ini terbang menemui masyarakat yang memerlukan. Ini adalah antara kes terpencil, yang pasti akan disiasat lebih lanjut akan puncanya.
Khidmat doktor udara begitu penting kerana di tangan merekalah masyarakat di pedalaman yang jauh dari akses perubatan dapat meneruskan kehidupan lebih selesa dan sihat dan tidak dinafikan hak kesihatan.



