SIBU: Persatuan Fotografi Sibu (PSS) baru-baru ini mengadakan sesi fotografi khas di Rumah Michael Ancho, Bawang Assan untuk mendokumentasi kehidupan tradisional masyarakat rumah panjang Iban.
Aktiviti hanya terbuka kepada ahli-ahli PSS itu memberikan peluang kepada mereka merakam pelbagai aspek kehidupan penuh tradisi dan keunikan budaya Iban.
Peserta yang terdiri daripada jurugambar berbakat ini tidak hanya diberi peluang untuk merakam gambar, tetapi juga merasai sendiri kehidupan sebenar di rumah panjang.
Fokus utama adalah untuk merakam detik-detik harian yang mencerminkan nilai murni serta adat resam yang diwarisi sejak turuntemurun komuniti Iban.

Sebagai tambahan pengalaman fotografi, peserta turut dijamu dengan hidangan tradisional Iban yang lazat, memperkaya lagi pengalaman mereka dengan cita rasa asli budaya tersebut.
Presiden PSS, Peter Lee dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Tuai Rumah Michael atas sambutan mesra serta penginapan yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
“Terima kasih kepada Tuai Rumah Michael atas keramahan yang ditunjukkan, serta kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan acara ini.
“Ia peluang yang sangat berharga bagi ahli-ahli kami, bukan sekadar merakam gambar, tetapi untuk lebih mendalami budaya dan tradisi yang telah lama terpelihara dalam masyarakat Iban,” tambahnya lagi.



