ARTIKEL

DR FIE buka lembaran hidup baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERSONALITI media sosial, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie, 36, kini membuka lembaran baharu dalam kehidupan apabila sah bergelar isteri kepada usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar.

Pasangan itu disatukan dalam majlis akad nikah yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna, sekali gus menandakan bermulanya perjalanan baharu mereka sebagai suami isteri.

Lebih istimewa, pasangan berkenaan difahamkan disatukan dengan sekali lafaz menerusi akad nikah yang disempurnakan oleh bapa Dr. Fie.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Fie menerima satu dinar emas sebagai mas kahwin daripada suaminya.

Berita gembira itu turut dikongsikan Dr. Fie menerusi media sosialnya apabila beliau memuat naik beberapa foto persiapan perkahwinan termasuk busana indah yang digayakan pada hari istimewa berkenaan.

Menerusi perkongsian itu, Dr. Fie turut meluahkan penghargaan kepada suaminya yang disifatkan sebagai individu paling banyak memberikan sokongan sepanjang perjalanan persiapan perkahwinan mereka.

Menurutnya, segala persiapan yang dilakukan bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan masa, tenaga dan kesabaran, namun suaminya sentiasa memberikan kerjasama tanpa sebarang rungutan.

Malah, beliau turut menghargai kesediaan Kapten Amrul Nizar untuk menjayakan pelbagai idea kandungan media sosial, termasuk sesi rakaman video dan fotografi yang mengambil masa berjam-jam.

“Terima kasih sebab sanggah sporting sepanjang perjalanan persiapan perkahwinan kita. Saya tahu semuanya agak sibuk, memenatkan dan kadangkala membebankan, tetapi awak tidak pernah merungut, apatah lagi bertengkar dengan saya.

“Awak sentiasa mengikut perancangan dan menyokong apa-apa sahaja yang keluarga saya dan saya rancang,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Dr. Fie turut menyifatkan sikap sabar dan tenang suaminya ketika melayan pelbagai kerenah serta idea sepanjang persiapan perkahwinan sebagai sesuatu yang amat dihargai.

Antara kenangan yang paling terkesan di hatinya ialah kejutan kecil daripada suaminya apabila lelaki itu memutarkan busana pengantinnya ketika mereka bersama-sama menjalani sesi penggambaran.

Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, Dr. Fie mengakui momen spontan itu membawa makna besar kepadanya dan menjadi antara kenangan manis yang sukar dilupakan.

“Perkara itu mungkin nampak ringkas, tetapi percayalah, detik seperti itu sangat bermakna buat saya. Perkara kecil seperti itulah yang menjadikan semuanya begitu istimewa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan suaminya sebagai penyokong terbesar yang bukan sahaja menerima minat dan kerjayanya, malah sentiasa memberikan ruang untuk dirinya terus berkarya serta meneroka pelbagai perkara diminati.

Mengakhiri luahan itu, Dr. Fie menyampaikan penghargaan kepada suaminya kerana menjadikan keseluruhan perjalanan menuju hari bahagia mereka lebih indah dan bermakna.

“Terima kasih kerana menjadi penyokong terbesar saya, teman dalam setiap pengembaraan kecil dan kini suami saya. Saya sayangkan awak,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Nubhan pada 29 Ogos 2015 sebelum pasangan itu bercerai talak dua pada Disember lalu.

Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Naylle, 4.

Media sebelum ini melaporkan Dr. Fie sudah mengikat tali pertunangan dengan Kapten Amrul Nizar sebelum pasangan itu akhirnya melangkah ke alam perkahwinan.

BERITA LAIN

Syafiq Kyle yakin kekuatan filem BAGA

Isu penyalahgunaan dadah mungkin menjadi latar utama sebuah cerita, namun kesan keputusan manusia, kesempitan hidup dan pengorbanan dalam percintaan merupakan mesej lebih besar yang ingin

BERITA TERBARU

11 barangan harga terkawal sempena Deepavali

KUCHING: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan ditetapkan sebagai barangan harga terkawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Sarawak selama tujuh

Ancaman bom jejas 18 penerbangan komersial Eropah

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 18 penerbangan komersial di seluruh Eropah dilaporkan menerima ancaman bom pada Khamis, menyebabkan beberapa pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas, mengubah laluan serta menjalani