Dr Maszlee pencetus revolusi pendidikan

KUCHING: Banyak perubahan drastik dan revolusi pendidikan yang dibuat oleh Dr Maszlee Malik dalam tempoh pendek beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Ini luahan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Nadrawina Isnin, berhubung peletakan jawatan Maszlee sambil menyifatkan ia amat menyedihkan.

Beliau menambah yang paling penting ialah pendekatan kemanusiaan beliau dalam menangani isu-isu pendidikan. Justeru, penganalisis politik itu menegaskan pencapaian Maszlee amat baik sekali. “Contohnya di peringkat universiti, beliau mengatakan Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam urusan universiti iaitu pihak universiti berhak membuat keputusan sendiri,” katanya yang dihubungi, semalam.

Maszlee Malik

Nadrawina juga memuji inisiatif Maszlee agar tidak ada ujian akademik untuk anak-anak tahap 1 iaitu dari tahun 1 hingga 3, yang digantikan dengan penilaian berterusan.

“Saya melihat pendekatan ini amat sesuai kerana kanak-kanak pada usia terlalu muda ini perlu diberikan pendedahan suasana pembelajaran yang kondusif. “Ini termasuk bermain atau permainan, yang boleh mengembangkan bakat dan ilmu kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata turut terharu apabila kebanyakan guru amat menghargai tindakan Maszlee, yang memihak kepada guru.

Jelas beliau, ini kerana para guru telah dibebani begitu lama dengan tugas bukan hakiki iaitu perkeranian, walhal tugas hakiki guru adalah mendidik anak-anak.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan semalam, atas nasihat Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.