ARTIKEL

Dr Sim ajak penyokong The Cats tonton bersama di Batu Kawa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengajak penyokong Kuching City FC yang tidak berkesempatan hadir ke stadium menyaksikan siaran langsung aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/2027 menentang Selangor FC bersama beliau di kedai makan Man Canai, Batu Kawa, pada jam 7 malam ini.

Menerusi hantaran media sosialnya, beliau menyeru orang ramai hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada skuad The Cats yang memburu tiket ke pentas final dalam perlawanan penentuan di Stadium Taha Ariffin.

“Ayuh, kita beramai-ramai menyokong Kuching City FC menentang Selangor FC malam ini,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Ajakan itu dibuat ketika semangat penyokong Kuching City semakin memuncak menjelang perlawanan penting berkenaan, susulan kejayaan pasukan melakar kemenangan sulung di pentas Asia pada Khamis lalu.

Menurut hantaran rasmi Kuching City FC semalam, sebanyak 8,792 tiket terjual setakat jam 10 malam, sekali gus menggambarkan sambutan menggalakkan penyokong terhadap aksi penentuan itu.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak perlu bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Selangor pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 23 Oktober lalu.

Kuching City memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke final tanpa perlu melalui masa tambahan, manakala kemenangan dengan perbezaan satu gol akan mengheret perlawanan ke masa tambahan sekiranya agregat terikat.

Keyakinan penyokong turut meningkat selepas The Cats menewaskan kelab Korea Selatan, Gangwon FC, 2-0 dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin pada 5 November lalu.

Dua jaringan Safawi Rasid dalam tempoh 20 minit pertama memastikan Kuching City meraih kemenangan bersejarah itu, sekali gus memberikan suntikan semangat menjelang pertemuan semula dengan Selangor.

Bagaimanapun, cabaran besar menanti skuad The Cats apabila Selangor turut tiba dengan misi mempertahankan kelebihan agregat untuk mengesahkan tempat ke final.

Aksi separuh akhir kedua Piala FA dijadual bermula pada jam 7.45 malam ini, dengan pemenang secara agregat berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) atau DPMM FC dalam perlawanan akhir pada 16 Januari 2027.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Tirai juru pengidup ukai penekul bulih pemujur

LIMBANG: Tirai juru pengidup ti seranta ukai penekul ngulihka pemujur, tang penetap ati, disiplin enggau pengeran ngiga penemu ulih ngubah pengidup orang jemah ila. Fasilitator