ARTIKEL

Hii Chang Kee mempengerusikan mesyuarat mengenai pembangunan sistem ECOMS bagi persiapan Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak.

Sistem ECOMS pantau tugasan, persiapan Sukan SEA 2027 ikut jadual

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sistem penyelarasan dan pengurusan acara (ECOMS) bakal digunakan bagi memantau tugasan 21 jawatankuasa Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak, sekali gus memastikan semua persiapan berjalan lancar dan mengikut jadual.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak, Datuk Hii Chang Kee berkata sistem itu akan memudahkan penyelarasan tugas antara jawatankuasa, selain meningkatkan kebertanggungjawaban setiap petugas.

“Melalui sistem ini, setiap ketua dan petugas yang bertanggungjawab dalam jawatankuasa masing-masing akan lebih peka serta bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan.

“ECOMS akan mempercepatkan maklum balas daripada setiap jawatankuasa supaya tindakan segera dapat diambil terhadap tugasan masing-masing,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Sukan SEA 2027, di sini pada Jumaat.

Menurut Hii, penggunaan ECOMS membolehkan sekretariat memantau perkembangan setiap tugasan dengan lebih sistematik, termasuk mengenal pasti tindakan yang belum diselesaikan serta memastikan pelaksanaannya tidak melepasi tempoh ditetapkan.

“Pendekatan itu lebih berkesan berbanding kaedah komunikasi konvensional seperti aplikasi WhatsApp kerana maklumat, tanggungjawab dan perkembangan tugasan dapat diselaraskan melalui satu sistem pengurusan khusus.

“Langkah tersebut juga seiring dengan agenda pendigitalan pentadbiran kerajaan Sarawak yang memberi penekanan terhadap kecekapan, ketelusan dan keberhasilan pelaksanaan tugas,” jelasnya.

Sebagai persediaan awal, katanya, semua 21 jawatankuasa terlibat dijadual mengikuti taklimat khas pada 16 November ini bagi menguji keberkesanan ECOMS sebelum sistem berkenaan digunakan secara lebih menyeluruh.

Hii turut mencadangkan penggunaan ECOMS diperluaskan kepada penganjuran kejohanan sukan antarabangsa serta acara utama lain di Sarawak sekiranya pelaksanaannya terbukti berkesan.

Pembangunan sistem oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) itu menjadi antara usaha memperkemas persiapan Sarawak sebagai salah satu kluster tuan rumah Sukan SEA ke-34, khususnya dalam memastikan penyelarasan antara pelbagai jawatankuasa berjalan lancar.

Sukan SEA Malaysia 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan dengan Sarawak menjadi antara empat kluster penganjuran bersama Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Datu Dzulkarnain Masron; Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman, serta wakil Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU