ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap pada Majlis Perasmian Jentera Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Dewan Kampung Stakan Melayu, di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

PBB tidak letak calon sama di DUN dan Parlimen – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak meletakkan individu yang sama untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerusi DUN.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan itu merupakan amalan yang diteruskan sejak kepimpinan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, pada era kepimpinan Allahyarham Tun Taib, PBB pada awalnya meletakkan calon bagi kedua-dua peringkat DUN dan Parlimen sebelum mengubah pendekatan dengan memberi tumpuan kepada kerusi DUN.

Katanya, pendekatan yang sama diteruskan oleh Allahyarham Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan sebelum beliau turut mengikut amalan berkenaan.

“PBB selalunya tidak ada (calon) DUN dengan Parlimen. Waktu Allahyarham Tun Taib dahulu, beliau meletakkan calon DUN dan Parlimen, kemudian mengeluarkan Parlimen (melepaskan jawatan ahli Parlimen) dan hanya fokus kepada DUN.

“Tok Nan pun demikian juga. Jadi, saya ikut pendekatan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Dewan Kampung Stakan Melayu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat Ahli Parlimen atau wakil dari peringkat pusat yang akan dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13.

Bagaimanapun, kata Presiden PBB itu, pendekatan tersebut merupakan amalan biasa PBB, namun beliau tidak boleh menyentuh pendekatan yang digunakan parti komponen GPS lain.

“Kebiasaannya, PBB begitu. Parti lain saya tidak boleh sentuh, (termasuk PDP, PRS dan SUPP),” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, GPS memberi mandat penuh kepada Abang Johari untuk menentukan senarai calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13.

Ketua Penerangan PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum ini berkata senarai calon yang akan mewakili GPS pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 dijangka diumumkan pada majlis penyerahan watikah sebelum hari penamaan calon pada 28 November ini.

Katanya, keputusan akhir berhubung pemilihan calon terletak di tangan Abang Johari selaku Pengerusi GPS.

Beliau berkata, sebahagian besar calon bagi kerusi yang akan ditandingi PBB telah dikenal pasti, namun beberapa kerusi berkemungkinan menyaksikan kemunculan muka baharu.

GPS dianggotai empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.

BERITA LAIN

Kerajaan negeri perlu seiring Persekutuan

MELAKA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan kerajaan negeri perlu seiring dengan kerajaan Persekutuan supaya dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan

BERITA TERBARU