
KUCHING: Dua buah kenderaan masing-masing jenis Perodua Myvi dan Proton Wira dilaporkan terbakar di Jalan Tun Muhammad Salahudin, Petra Jaya kira-kira jam 3.16 pagi tadi.
Kejadian berlaku di perkarangan tempat letak kereta sebuah rumah, disedari awal oleh pemilik kenderaan terbabit sebelum bertindak melaporkannya kepada pihak bomba.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kebakaran awal berjaya dipadam oleh pemilik kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba.
“Kebakaran melibatkan dua buah kenderaan iaitu Myvi telah terbakar keseluruhan di bahagian enjin dan dashboard, manakala Proton Wira terbakar di bahagian bonet belakang dan juga tayar,” kata kenyataan itu.
Operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba dan penyelamat (BBP) Petra Jaya bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal sepenuhnya.
Operasi tamat pada jam 4.10 pagi sebelum pihak operasi melaporkan berangkat balik semula ke balai.
