SERIAN: Dua lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM7,500 atau penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret, kerana melakukan rusuhan bersenjata dengan merosakkan sebuah kereta dalam satu kejadian gaduh gempar bersama-sama 12 individu yang lain.
Lelaki berusia 23 dan 35 tahun tersebut masing-masing mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan khianat merosakkan sebuah kereta jenis Proton Saga milik seorang warga emas lelaki berusia 72 tahun hingga menyebabkan kerugian RM4,361.
Majistret Nursyaheeqa menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.
Manakala, pertuduhan kedua, mereka bersama-sama 12 individu lain didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana mengambil bahagian dalam rusuhan bersenjatakan batu.
Kedua-dua tertuduh bersama 12 individu lain berusia antara 23 hingga 58 tahun tersebut dijatuhkan hukuman denda RM3,500 atau 12 bulan penjara.
Kesemua kesalahan itu, dilakukan di tepi jalan Kampung Resak, Serian, sekitar 10.33 malam, 28 Ogos lepas.
Berdasarkan fakta kes, pengadu merupakan anggota polis menerima panggilan daripada MERS 999 apabila orang awam melaporkan kejadian pergaduhan di tepi jalan Kampung Resak.
Pihak polis terus ke lokasi kejadian, lalu membuat tangkapan kesemua tertuduh.
Rampasan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan dua ketul batu turut dilakukan.
Hasil siasatan mendedahkan dua lelaki memecahkan cermin dan menendang kereta Saga mangsa warga emas menggunakan dua ketul batu.
Siasatan lanjut mendapati kesemua tertuduh melakukan rusuhan di tepi jalan raya di persimpangan kampung tersebut.
Difahamkan, punca kejadian kerana saling menuduh mencuri buah kelapa sawit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat lnspektor Victor Buckand Dusim Oh.






