KUCHING: Dua orang lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam pengambilan dadah jenis syabu secara berulang.
Vincent, 37, dan Nur Muhamaad, 28, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, Vincent mempunyai tiga rekod lampau pada tahun 2023 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan kali ini dia didakwa mengambil dadah terlarang sekali lagi jenis Methamphetamine dan Amphetamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Serian, kira-kira jam 9.15 malam, 11 Oktober 2024.

Iris menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dua bulan serta dua sebatan ke atas tertuduh.
Manakala, Nur Muhamaad didakwa mempunyai dua rekod lampau pada bulan April 2024.
Nur Muhamaad didakwa sekali lagi mengambil dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching, kira-kira jam 3.25 petang, 21 Januari 2025.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun tiga bulan dan dua sebatan ke atas Nur Muhamaad.
Pendakwaan kedua-dua kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) daripada Akta yang sama.
Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, manakala Seksyen 39C (1)(b) Akta yang sama membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, pihak polis telah menahan dua orang lelaki tempatan di dua kejadian berbeza yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang.
Hasil ujian saringan awal air kencing kedua-dua tertuduh didapati positif dadah.
Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ruvinasini Pandian DPP Chuah Kai Sheng dan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






