BAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam operasi berasingan di kawasan Kampung Segong dan Kampung Stenggang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Bau bersama anggota IPD Bau bermula kira-kira jam 6.30 petang hingga 7.30 malam.
“Dalam operasi itu, kedua-dua suspek ditahan selepas pemeriksaan mendapati masing-masing memiliki satu peket plastik kecil berisi ketulan kristal disyaki syabu.
“Kesemua rampasan dadah berjumlah 0.70 gram dengan anggaran nilai kira-kira RM80,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Haide, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek turut menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek katanya ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Suspek pertama berusia 29 tahun manakala suspek kedua berusia 18 tahun.
“Kedua-dua suspek juga mengaku mengambil dadah jenis syabu pada hari yang sama sebelum ditahan.
“Kesemua tangkapan kini ditahan di lokap Balai Polis Bau dan dijangka akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut” katanya.


