DALAM dunia semakin mencabar hari ini, kisah tentang anak-anak yang dibuang, ditinggalkan di hospital, masjid, bahkan tong sampah bukan lagi asing. Ini bukan sahaja soal dosa dan maruah, tetapi juga tentang kegagalan menyediakan ruang kedua untuk jiwa kecil yang tidak pernah minta dilahirkan tanpa penerimaan.
Justeru, wujudnya situasi pengambilan anak angkat yang bukan sekadar memenuhi naluri keibuan wanita yang tidak mampu melahirkan anak, tetapi boleh dikatakan menyelamatkan masa depan seorang insan kecil yang tidak berdosa.
Ramai wanita di luar sana yang berjuang bertahun-tahun untuk mendapatkan zuriat sendiri.
Mereka melalui rawatan kesuburan, keguguran berulang kali dan akhirnya terpaksa menerima takdir bahawa rahim mereka tidak mampu memberi kehidupan.
Rahim mereka juga tidak ditakdirkan untuk membenih nyawa baharu. Namun, keinginan untuk menyayangi, membesarkan dan mendidik seorang anak tetap membara.
Dan di satu sudut lain dunia ini — seorang bayi di dalam dunia yang tidak mahu terlahir dari rahim ibu mungkin remaja terlanjur, mungkin mangsa rogol atau mungkin terlalu miskin hingga tidak mampu menjaga.
Maka bayi itu berisiko untuk dibuang.
Ditinggalkan. Terabai. Tidak terjaga kebajikannya.
Di sinilah titik pertemuan dua nasib yang kelihatan tragik, tetapi menjadi permulaan yang indah
. Pengambilan anak angkat ibarat penyambung dua takdir yang sunyi. Ia memberi wanita yang diuji dengan rahim yang kosong, peluang untuk menjadi ibu sepenuh jiwa.
Dan pada masa yang sama, ia memberi seorang anak yang hampir-hampir tidak diberi peluang untuk hidup yang lengkap seperti sebuah rumah, sebuah keluarga dan harapan.
Namun, mengambil anak angkat bukan mudah. Ia bukan sekadar proses undang-undang atau dokumen rasmi. Selain undang-undang dan peraturan, ia memerlukan penerimaan yang mendalam — bahawa kasih sayang yang akan diberi bukan kerana kasihan tetapi kerana komitmen.
Yakinkan diri sendiri anak itu bukan anak orang lain tetapi anak sendiri yang hadir bukan daripada darah kita tetapi daripada keputusan dan cinta.
Jangan memandang pengambilan anak angkat sebagai alternatif kedua — hanya apabila segala usaha mendapatkan anak kandung gagal.
Lihat dengan mata hati, ia mungkin jalan pertama yang telah Tuhan aturkan untuk menyelamatkan dua jiwa — menyelamatkan ibu yang menanti, dan seorang anak yang tidak tahu nasibnya sebaik lahir ke dunia.
Tiada siapa menduga mungkin dalam pelukan keluarga angkatnya, anak itu membesar menjadi insan yang besar jasanya kepada dunia, berjaga kepada agama dan keluarga yang membesarkannya.
Sesetengahnya menyangka membesarkan anak angkat tidak seberat membesarkan anak kandung. Malah ada yang menganggap anak angkat sekadar peneman sunyi, pengganti sementara, atau hanya simbol simpati seorang ibu.
Realitinya, apabila seseorang memilih untuk menerima anak sebagai anak angkat, dia telah mengambil satu amanah yang sangat besar — amanah yang sama nilainya dengan membesarkan anak kandung sendiri.
Jangan menilai kasih sayang dan ikatan itu daripada hubungan darah semata-mata.
Seorang anak, walau lahir dari rahim wanita lain, apabila sudah berada dalam dakapan kita, dia telah menjadi sebahagian daripada hidup, menjadi tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak.
Anak itu tidak meminta untuk dilahirkan untuk dijaga keluarga yang langsung tiada hubungan darah dengannya dan dia juga tidak meminta untuk dipilih menjadi anak angkat.
Justeru apabila kita yang memilihnya, kita bertanggungjawab untuk menyayanginya sepenuh hati, bukan separuh jiwa.
Mereka berhak menerima semua perkara yang diterima oleh anak kandung — agama, kasih sayang, kebajikan, pendidikan, bimbingan, dan perlindungan.
Mereka bukan insan kelas kedua dan bukan watak sampingan dalam rumah tangga.
Saya sendiri pernah mendengar dari mulut kawan — jaga anak angkat tidak perlu sepenuhnya kerana dewasa kelak, mereka akan kembali kepada keluarganya.
Percayalah, sehebat mana keluarga berubah menjadi keluarga terkaya sekalipun, dia takkan lari ke dalam dakapan keluarga kandungnya semula.
Mereka adalah anak. Mereka tidak sepatutnya berasa kurang atau terpinggir, hanya kerana mereka datang dari jalan yang berbeza.
Mesti selalu ikhlas dan berdamai dengan takdir. Harus bersedia untuk menjawap soalan yang sukar dijawab apabila menyedari mereka anak angkat. Kerana suatu hari nanti, mereka tetap bertanya asalusulnya dan mengapa mereka dijaga keluarga lain.
Percayalah, di sinilah titik ibu bapa angkat terutama ibu diuji — untuk menjawab mengapa, mengapa dan mengapa dia menjadi anak kepada orang asing.
Saya selalu percaya dengan cinta tidak bersyarat kita akan menjadikan hati dan naluri anak angkat tidak goyah dan takkan bertanya kali kedua mengapa mereka dijaga ibu bapa asing.
Mereka bertambah yakin kitalah pelindung yang tidak goyah, menjadi tempat berlindung yang tidak menyakitkan. Mereka harus melihat kita sebagai ibu dan ayah yang menjadi tempat menggantung harapan.
Justeru, tanggungjawab kita membentuk mereka menjadi insan yang baik, berakhlak dan berguna — sama seperti yang ibu bapa lain harapkan daripada anak kandung mereka
. Kerana pada akhirnya, yang akan kekal bukanlah siapa melahirkan siapa, tetapi siapa yang sanggup membesarkan dengan kasih sayang sebenar.
Dan kasih itu, apabila lahir dari hati yang tulus, ia tidak akan mengenal perbezaan darah.






