KUCHING: Dua orang pelancong dari China masing-masing dijatuhi hukuman denda RM14,300 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana mengambil bunga orkid liar dalam Taman Negara Santubong tanpa kebenaran, 3 September lalu.
Shih Kuan Yu, dari Taiwan dan Sun Dayong, dari Shandong mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa melanggar Seksyen 26(c) Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, 1998 (Bab 27) dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(c) Ordinan yang dibaca bersama Seksyen 32 (a) Ordinan yang sama, kerana mengambil tumbuhan dari Taman Negara Santubong tanpa kebenaran pengawal taman negara.

Manakala, pertuduhan kedua, mereka didakwa melanggar Seksyen 26(f) Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, 1998 (Bab 27) dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(f) Ordinan yang sama yang dibaca bersama Seksyen 32(a) Ordinan yang sama dan Seksyen 38 Ordinan Tafsiran, 2005 (Bab 61), kerana memindah keluar tumbuhan dalam taman tersebut.
Kedua-kedua kesalahan itu turut boleh dihukum di bawah Seksyen 32(a) Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, 1998 (Bab 27).
Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa di bawah Seksyen 30(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 (Bab 26) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, kerana memiliki satu pokok tumbuhan spesies Orchidaceae.
Mereka melakukan kesalahan tersebut dalam taman negara tersebut sekitar jam 1.50 petang, 3 September tahun lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan renjer hutan telah membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki warga asing kerana dipercayai telah mengambil tumbuhan dalam taman negara terbabit.
Hasil pemeriksaan menemui dua beg plastik lutsinar berisi tumbuhan liar yang disimpan dalam beg hitam.
Hasil siasatan mendedahkan kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen dan permit daripada pengawal taman negara untuk mengambil tumbuhan liar tersebut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohammad Mazidul Mis dan Beatrice James, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.



