KUCHING: Dua pemandu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Kuching di Jalan Tabuan di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, dua pemandu terbabit iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 28 tahun ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan.
“Hasil ujian pernafasan menggunakan alat eba ii (evidential breath analyzer) mendapati kedua-dua suspek positif alkohol – kandungan alkohol dalam badan kedua-duanya ialah 111 miligram hingga
140 miligram alkohol dalam 100 milliter darah.
“Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan dengan kadar alkohol di dalam badan melebihi had ditetapkan, iaitu 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Merbin, operasi yang bermula 11.30 malam hingga 4 pagi terbabit diketuai seorang Pegawi Kanan Polis bersama 13 anggota.
Katanya, jika disabitkan atas kesalahan ini, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000.
“Suspek juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan
bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya.
“Hukuman lebih berat akan dikenakan iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000,” tegasnya.
Dalam perkembangan yang sama, Merbin menambah, sepanjang operasi ini, seramai 89 individu dan 83 kenderaan diperiksa melibatkan 62 motokar, 10 motosikal, enam pacuan empat roda (4WD) dan lima kenderaan pelbagai guna (MPV).
Katanya, sebanyak 20 keping saman PDRM (K)257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak pakai tali pinggang keledar, nombor flat tidak ikut peraturan, ubah suai ekzos dan banyak lagi.



