KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengadakan sesi penyerahan tapak bagi pelaksanaan dua projek naik taraf jalan di bawah seliaan MPKS, iaitu Projek Menaik Taraf Jalan Utama Taman Samarindah serta Projek Menaik Taraf Jalan Chin Ping dan Jalan Sebisak.
Sesi penyerahan tapak tersebut disaksikan oleh Timbalan Pengerusi MPKS, Cr Daily Joseph, sebagai sebahagian daripada persediaan bagi memulakan pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut kenyataan MPKS, Projek Menaik Taraf Jalan Utama Taman Samarindah dengan kos sebanyak RM579,950 melibatkan kerja-kerja penurapan semula permukaan jalan bagi meningkatkan keadaan dan kualiti jalan sedia ada akan dilaksanakan oleh Syarikat Darliana Enterprise.

“Projek Menaik Taraf Jalan Chin Ping dan Jalan Sebisak dengan kos sebanyak RM337,500 pula akan dilaksanakan oleh Quintillion Enterprise melibatkan kerja-kerja pembesaran jalan bagi menambah baik kemudahan infrastruktur jalan di kawasan berkenaan.
“Kedua-dua projek ini dijadualkan bermula pada 5 Oktober 2026, dengan tempoh pelaksanaan hingga Februari 2027 bagi projek Jalan Utama Taman Samarindah dan Januari 2027 bagi projek Jalan Chin Ping dan Jalan Sebisak,” jelas kenyataan tersebut.
Tambahnya, pelaksanaan projek ini merupakan antara usaha berterusan MPKS dalam menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya di kawasan pentadbirannya serta memastikan kemudahan yang disediakan dapat memenuhi keperluan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
“MPKS berharap pelaksanaan projek-projek ini dapat berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan serta memberikan manfaat kepada masyarakat melalui penyediaan infrastruktur jalan yang lebih baik, selesa dan selamat.
“MPKS turut memohon kerjasama semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan serta mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan trafik sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“MPKS turut memohon maaf atas segala kesulitan dan ketidakselesaan yang mungkin dialami oleh pengguna jalan raya serta penduduk setempat sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini,” katanya.





