KUCHING: Sepasang rakan sejenayah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana menyimpan harta curi seunit kabel elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB), 14 Oktober lalu.
Tertuduh pertama, 42, bekerja sebagai nelayan dan tertuduh kedua, 40, tidak bekerja itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, kerana memiliki harta curi seunit kabel elektrik milik SEB.

Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Tabuan, sekitar 2.30 pagi, 14 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan ketua kampung menerima aduan daripada ahli JKKK kampung berkaitan kes kecurian kabel Sesco hingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Selain itu, terdapat rakaman video berdurasi 40 saat yang menunjukkan aksi mereka kelihatan baru selesai memotong kabel.
Pengadu mengenali wanita tersebut yang merupakan penduduk kampung.
Selain itu, pengadu membuat pemeriksaan ke beberapa buah rumah yang mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum datang ke balai polis untuk laporan.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh memiliki harta curi milik SEB.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





