KUCHING: Dua rakan sekampung masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Tertuduh Nasri Mohammad,45, Awang Shahrizal, 37, dari Kampung Semariang Batu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, pada 22 Mei lalu sekitar jam 5.30 pagi, sepasukan polis membuat pemantauan Op Rantau di tepi jalan Kampung Semerah Padi terserempak dengan dua orang lelaki sedang memunggah kabel dari sebuah kereta.
Kedua-dua tertuduh kemudian ditahan dan barang rampasan dibawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati kedua-kedua tertuduh telah mencuri kabel terbabit dalam semak di kawasan sebuah agensi kerajaan di Kampung Semariang Batu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.