KUALA LUMPUR: Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, malam semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejadian kira-kira 8.40 malam berlaku apabila suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Bukit Aman. Polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua suspek disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 malam.
Dua mangsa yang diselamatkan ialah lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia lingkungan 70-an dan 30-an. Kedua-duanya ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari, manakala polis turut merampas sepucuk pistol separa automatik Beretta dengan lima butir peluru, sebuah revolver dengan empat butir peluru serta sebilah parang panjang.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan beberapa serbuan dan menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kesemua mereka akan direman mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) akta sama kerana menculik untuk wang tebusan.
Kumar berkata kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan. Polis akan mengadakan sidang media berhubung kejadian itu pada Isnin ini seperti dilapor Bernama.



