ARTIKEL

Menikmati keenakan ikan semah (ikan premium) segar, antara hidangan istimewa masyarakat setempat.

Dulu ditakuti, kini dicintai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengorbanan seorang guru yang meredah beribu batu dari Negeri Sembilan untuk berkhidmat di kawasan pedalaman Kapit, Sarawak, menjadi lambang dedikasi luar biasa dalam landskap pendidikan negara.

Demi memastikan anak-anak di hulu sungai mendapat akses pendidikan yang setara, golongan pendidik sanggup meninggalkan keluarga, mengenepikan keselesaan kota dan mempertaruhkan keselamatan diri demi meredah jeram sungai serta jalan balak untuk mendidik anak bangsa.

Bagi Cikgu Muhamad Hisham Husin, 35, kenangan penempatan pertamanya di bumi Sarawak bukan sekadar catatan diari kerjaya, sebaliknya pengalaman istimewa dan mendalam yang mengubah falsafah hidupnya sebagai seorang pendidik.

Kenangan pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Sarawak pada 2015.

Pada 29 Januari 2015, Cikgu Muhamad Hisham Husin, anak kelahiran Negeri Sembilan, menerima ketentuan takdir apabila skrin telefon memaparkan pesanan:

“Tahniah. Anda dipostingkan ke Sarawak.”

Bagi seorang graduan pendidik yang tidak pernah keluar jauh dari negeri kelahirannya, perkataan “Sarawak” pada mulanya dirasakan seperti sesuatu yang gelap dan asing.

Namun, siapa sangka bumi yang dahulunya ditakuti akhirnya menjadi tempat yang paling dirindui dan dicintainya.

Itulah kisah pengorbanan, keberanian dan penyesuaian diri seorang guru yang sanggup meredah cabaran di pedalaman demi menyahut amanah mendidik anak bangsa.

Mengimbau detik sebelum bergelar anak perantau, Cikgu Hisham menyifatkan dirinya sebagai seorang anak manja yang dunianya hanya berputar di sekitar kampung dan bandar Seremban.

Cikgu Muhamad Hisham, Anak kelahiran Negeri Sembilan yang sanggup meredah jurang dan cabaran demi mendidik anak-anak bangsa di pedalaman Kapit, Sarawak.

Sejak di bangku tadika, alam persekolahan hingga menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG), beliau tidak pernah merantau jauh. Justeru, apabila keputusan penempatan diumumkan, beliau mengakui amat terkejut.

“Mama, abang dapat posting ke Sarawak,” katanya kepada ibunya.

Menurut Cikgu Hisham, ibunya mempunyai tiga perkara yang paling ditakuti untuk berlaku kepada anak terunanya, iaitu dihantar bertugas ke Sarawak, ditempatkan di sekolah pedalaman dan bertemu jodoh dengan wanita Sarawak.

Ternyata, dua daripada kebimbangan ibunya menjadi kenyataan pada fasa awal penempatannya, manakala perkara ketiga menyusul kemudian.

Detik pertama menjejakkan kaki ke Kapit, Sarawak.

Detik paling menyentuh perasaan berlaku apabila beliau terpaksa berangkat ke lapangan terbang tanpa lambaian dan pelukan ibu bapanya yang terikat dengan komitmen menguruskan kantin sekolah.

Di tengah kesibukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), air mata seorang lelaki tumpah.

Hanya kakak sulungnya sempat hadir untuk mengucapkan selamat jalan. Di sebalik tangisan itu, lahir satu tekad untuk memikul amanah sebagai seorang guru.

Sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, beliau terlebih dahulu mendengar pelbagai cerita negatif mengenai Sarawak.

Kenangan manis semasa Majlis Akhir Tahun sekolah.

Namun, beliau segera menyedari bahawa kebanyakan cerita tersebut datang daripada mereka yang tidak pernah melihat sendiri keindahan dan kedamaian negeri ini.

Cabaran sebenar bermula apabila beliau diarahkan melapor diri di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entuloh, Kapit, yang diklasifikasikan sebagai sekolah Pedalaman 3 (P3), iaitu kategori pedalaman paling mencabar dari segi geografi dan akses kemudahan.

Pengalaman pertama di Kapit menguji ketahanan mentalnya apabila diajukan soalan tidak dijangka oleh Guru Penolong Kanan (PK1).

“Cikgu, cikgu pandai berenang kah?” tanya PK1.

Dengan jujur, Hisham menjawab, “Tak pandai, cikgu.”

Soalan ringkas itu sudah cukup membuatkan bulu romanya meremang kerana beliau mula membayangkan senario terburuk untuk sampai ke sekolah.

Perjalanan diteruskan dengan menaiki bot ekspres selama tiga jam dari Kapit ke Nanga Merirai seorang diri selepas PK1 terpaksa menghadiri mesyuarat secara mengejut.

Sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Rajang dan Sungai Balleh, beliau tidak berani melelapkan mata kerana bimbang terlepas pangkalan yang sepatutnya.

Berbekalkan “lidah Semenanjung” dan aplikasi peta di telefon pintar yang mempunyai isyarat tidak menentu, beliau memberanikan diri bertanya kepada penumpang lain bagi memastikan tidak tersesat di bumi Iban.

Ketakutan sepanjang perjalanan di sungai yang luas itu akhirnya bertukar menjadi rasa hiba dan damai sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di perkarangan SK Nanga Entuloh.

Sekolah itu terletak di sebuah lembah yang tenang di tepi hulu sungai serta dikelilingi belantara menghijau.

Suasana kota yang bising segera digantikan dengan irama alam semula jadi.
Setiap hari, beliau disajikan dengan bunyi deruan air sungai, kicauan burung dan desiran unggas malam.

Kehidupan di pedalaman mengajarnya erti kesederhanaan yang sebenar.

Kemudahan asas di sekolah pada waktu itu amat terhad dan bergantung sepenuhnya kepada set jana kuasa elektrik (genset).

Akibat kerosakan salah satu daripada dua enjin genset, bekalan elektrik terpaksa dicatu dan tepat jam 10 malam, enjin dimatikan sepenuhnya.

“Waktu malam apabila enjin ditutup, keadaan menjadi tersangat gelap. Buka mata atau tutup mata, sama sahaja gelapnya,” katanya berseloroh.

Namun, kekangan itu membuka ruang kepada aktiviti yang lebih bermakna.

Pada waktu petang, para guru mandi di sungai, berkelah dan menikmati mi segera yang dimasak bersama udang sungai segar hasil tangkapan penduduk tempatan.

Bagi Cikgu Hisham, antara cabaran paling menguji kesabaran ialah gangguan serangga kecil yang dikenali sebagai kerengit.

Berkongsi kegembiraan Aidilfitri dengan memberikan duit raya kepada murid-murid.

Gigitan serangga itu menyebabkan buku lalinya menjadi hitam dan meninggalkan kesan gatal yang menyengat.

Namun, semua itu diterimanya sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup di pedalaman.

Dengan jumlah murid seramai 23 orang bagi keseluruhan sekolah, suasana pembelajaran di SK Nanga Entuloh bersifat lebih eksklusif dan dekat.

Namun, tugas mengajar murid Tahun 1 yang hampir keseluruhannya berbangsa Iban bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila beliau ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris.

“Ia ibarat seekor ayam mengajar sekelas anak itik. Seorang bunyi kok kok kok, yang lain pula bunyi kuek kuek kuek,” katanya berseloroh.

Kenangan ketika mula melapor diri sebagai guru pada tahun 2015.

Beliau mengakui pada peringkat awal, beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenai Bahasa Iban.

Lama-kelamaan, beliau mula mempelajari kosa kata Bahasa Iban daripada murid-murid dan mempraktikkannya dalam perbualan harian.

Di sebalik kepayahan hidup dan keterpencilan geografi di pedalaman Kapit, perkara yang membuatkan Cikgu Hisham jatuh cinta kepada Sarawak ialah sifat pemurah, keikhlasan dan kebaikan masyarakat setempat.

Walaupun keluarganya berada beribu batu di seberang Laut Cina Selatan, penduduk kampung melayannya seperti anak sendiri.

Barangan milik Cikgu Hisham ketika pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah ini.

Beliau sering menerima hasil tanaman, buah-buahan hutan dan hasil buruan secara percuma.

Beliau juga kerap menerima empasa tutok, cili, buah-buahan bermusim dan ikan semah yang dianggap antara hidangan istimewa masyarakat setempat.

Rasa hormat yang ditunjukkan oleh murid-murid di pedalaman juga disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat murni dan sukar ditemui di bandar.

Tanpa disuruh, murid-murid sering membantu mengangkat barang-barang miliknya dari pangkalan ke kuarters.

Keikhlasan mereka lazimnya dibalas dengan coklat dan snek.

Bersama murid-murid Tahun 6 yang menjadi sebahagian daripada perjalanan sebagai seorang pendidik.

Bagi mengatasi jurang pendedahan murid terhadap dunia luar, Cikgu Hisham menggunakan pendekatan visual dengan memuat turun video dan gambar berkaitan kemajuan dunia luar ketika berada di pekan sebelum menayangkannya di dalam kelas.

“Saya selalu berpesan bahawa hanya melalui pendidikan mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya.

Usaha itu membuahkan hasil apabila kesemua tujuh murid Tahun 6 di sekolahnya lulus penuh dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun tersebut.

Malah, seorang murid perempuannya memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman dan Penulisan.

Lebih menyentuh hati, seorang murid lelaki yang pada mulanya tidak mengenali huruf dan tidak pandai membaca akhirnya berjaya lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia selepas menerima bimbingan secara peribadi.

Pertemuan yang tidak disangka-sangka dengan insan tercinta di atas bot ekspres.

Bumi Sarawak bukan sahaja mendewasakan kerjaya perguruan Cikgu Hisham, malah di sinilah juga beliau bertemu jodoh dengan seorang guru wanita berbangsa Iban.
Pertemuan mereka berlaku secara tidak sengaja di atas sebuah bot ekspres dalam perjalanan dari Kapit ke Sibu.

Kini, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Selepas beberapa tahun berkhidmat di SK Nanga Entuloh, beliau memohon pertukaran ke sekolah yang mempunyai akses jalan raya yang lebih baik berikutan komitmen keluarga serta faktor keselamatan isteri dan anak sulungnya.

Kini, beliau meneruskan khidmat bakti di SK Nanga Tada di Kanowit, Sarawak.

Mengakhiri perkongsian, Cikgu Hisham berpesan kepada guru-guru muda supaya tidak takut menerima penempatan di kawasan pedalaman.

“Pergilah ke sana dengan dada yang lapang dan rasailah sendiri pengalaman yang sangat berharga itu. Jangan cepat merungut dan jangan mudah melatah dengan kekurangan yang ada.

“Pekakkan telinga daripada mendengar cerita negatif yang belum pasti kebenarannya. Jagalah adab pertuturan, hormatilah adat resam dan budaya masyarakat setempat serta bergaullah dengan komuniti. Keikhlasan dalam mendidik akan menjadikan kita sebahagian daripada keluarga besar mereka,” katanya.

Seronok mengajar anak-anak pedalaman yang kaya dengan adab, budaya dan sopan santun.
Antara aktiviti dan pengalaman berharga sepanjang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Sekolah yang terletak di tepi sungai, menjadi saksi perjalanan mendidik anak bangsa.
Saat bermakna ketika membawa anak sulung ke sekolah buat pertama kali.
Bot ekspres, pengangkutan utama yang menghubungkan masyarakat pedalaman.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU