JUTAWAN muda, yang juga jaguh powerlifting kebanggaan negara, Bonnie Bunyau Gustin, 25, meraih ganjaran RM500,000 daripada Kerajaan Sarawak, yang diumumkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmian temasya Sukan Para SUKMA XXI di Stadium Perpaduan, Kuching Ahad lalu.
Ia adalah hasil kejayaan beliau merangkul pingat emas sukan terbesar dunia Orang Kelainan Upaya (OKU), Sukan Paralimpik Paris 2024 pertengahan Ogos lalu.
Malah beliau turut mencipta rekod baharu dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram
Ia adalah emas keduanya, setelah meraih emas pertama pada Sukan Paralimpkik Tokyo 2020.
Sebelum ini, Bonnie sudah pun meraih imbuhan RM2 juta daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) hasil kejayaan Paralimpik 2020 dan 2024.
Beliau turut menerima pencen sepanjang hayat, sebanyak RM5,000 untuk pemenang emas. Ia bermakna Bonnie meraih RM10,000 sebulan (dua emas). Pada 2021 Bonnie turut menerima ganjaran RM500,000 daripada Kerajaan Sarawak.
Lima tahun yang lalu pemuda kelahiran Kampung Baru Mawang Serian itu, hanya dikenali rakanrakan sekampung, sanak-saudara serta ahli keluarga, namun kini beliau dikenali di serata dunia, sebagai atlet powerlifting terkemuka.
Siapa Bonnie? Ketinggian hanya “4 kaki 3 inci” (132 cm), dan dilahirkan dalam keadaan diwarfism (pertumbuhan terbantut)
. Ia adalah satu keadaan yang disebabkan mutasi genetik, yang merencatkan pertumbuhan tulang. Mereka yang mengalaminya akan menghadapi cabaran fizikal sepanjang hayat.
Oleh kerana minat mendalam terhadap bidang sukan (powerlifting), Bonnie membuat keputusan yang agar drastik, berhenti sekolah selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ia kerana beliau menyedari, potensi besarnya dalam bidang sukan.
Ayahnya, Gustin Jenang yang juga bekas atlet powerlifting Sarawak, menghidu bakat Bonnie, dan memberi bimbingan yang sewajarnya.
Bonnie berlatih bersama-sama abangnya, Bryan Junancey Gustine, yang juga atlet negara. Berkat kegigihan Gustine, dan kesungguhan Bonnie yang berusia 15 tahun ketika itu, akhirnya “kelemahan bertukar kekuatan”.
Bonnie mencipta kejayaan demi kejayaan di peringkat nasional, dan kini mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Bonnie hanyalah seorang yang kecil, tetapi semangatnya sangat besar. Kini beliau menjadi idola atlet OKU dan normal, malah sering kali menjadi sebutan menteri, sebagai atlet dan belia contoh.
Yang pasti, Bonnie bukan sekadar belia contoh di Malaysia, malah di dunia, bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya, asalkan ada tekad dan semangat yang tidak pernah pudar.
Menurut legenda squasy negara, Datuk Nicol Ann David, bahawa Bonnie ialah legenda sebenar, kerana melakukan latihan yang lebih banyak, tiga kali ganda berbanding atlet normal. Katanya, kejayaan Bonnie meraih dua pingat emas Paralimpik, bukti kehebatannya, sebagai anak tempatan di persada dunia.
Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei yang memenangi dua pingat perak Olimpik berpendapat, bahawa Bonnie layak menerima ganjaran besar. Beliau turut mengagumi kehebatan Bonnie, kerana dua kali berjaya meraih pingat emas.
Kini kontinjen Sarawak berada di landasan terbaik untuk merangkul trofi ke-14 temasya Sukan Para SUKMA XXI yang sedang rancak berlangsung di Kuching.
Bagi peminat dan penggiat sukan di negeri ini, temasya SUKMA atlet normal seolah-olah baru selesai semalam, kini Para SUKMA sudah pun masuk hari kelima, dan berbaki dua hari lagi untuk melabuhkan tirai.
Berbekalkan semangat juara SUKMA lalu, kini giliran atlet OKU untuk tampil membuktikan, memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri.
Kekalahan kepada kontinjen jiran, Sabah dua tahun yang lalu harus ditebus.
Dengan sasaran 84 pingat emas, atlet Sarawak dijangka meraih lebih daripada itu.
Setakat jam 8 malam tadi Sarawak sudan pun mengumpul 56 pingat emas, bertanding Sabah 44 emas, diikuti Selangor 20 dan Johor 19.
Mengambil kira prestasi tersebut, kontinjen Sarawak sepatutnya tidak menghadapi banyak masalah untuk terus mendominasi pentas saingan. Insentif luar biasa daripada Kerajaan Sarawak, dengan RM15,000 untuk emas, RM5,000 perak dan RM3,000 gangsa harus ‘membakar semangat’ atlet Bumi Kenyalang untuk terus menggenggam emas hingga hari kemuncak saingan Sabtu ini.
Jumlah yang sama turut diberikan kepada atlet normal pada SUKMA lalu.
Tambahan pula kemunculan Bonnie pada perasmian Ahad lalu yang menyalakan obor kejohanan, menguatkan lagi motivasi para atlet Sarawak untuk tampil menyerlah.
Habuan RM500,000 daripada Kerajaan Sarawak membuktikan setiap kejayaan besar anak tempatan akan mendapat ganjaran setimpal.
Realitinya, ia bukan hanya tentang pingat, kejuaraan dan ganjaran, tetapi semangat juang golongan OKU, dalam aspek latihan dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan. Bagi mereka, untuk berjaya bukannya mudah, kerana perlu menggandakan lagi usaha, berbanding atlet normal
. Malah ia amat memerlukan kekuatan mental, apatah lagi bagi atlet yang dahulunya normal, tetapi menjadi kurang upaya selepas berlakunya kemalangan dan seumpamanya yang menyebabkan mereka kehilangan tangan dan kaki
Misalnya, atlet Sarawak, Galang Jabai, 38, yang memenangi pingat emas dalam acara renang Selasa lalu. Nahas jalan raya pada 2002 telah mengubah kehidupannya, 360 darjah.
Berkongsi peristiwa malang itu, beliau berkata ia merupakan detik hitam baginya, terlibat nahas jalan raya… pertembungan treler dengan treler pada Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 2002.
“Sebaik sedar daripada kemalangan, saya dapati tangan kiri saya sudah tiada, dan saya juga mengalami kecacatan pada kaki… ketika itu saya rasa berputus asa dan seolah-olah tidak mahu hidup lagi.
“Namun bapa saya menjadi penguat semangat dan saya mengambil keputusan untuk masuk pusat pemulihan di Kota Samarahan selepas kemalangan itu,” katanya.
Sebelum kemalangan, beliau memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun sebagai pekerja kayu balak. Yang pasti, melihat kesungguhan atlet para yang bertanding, harus memberi kesyukuran yang amat sangat terhadap golongan normal.
Realitinya, mereka juga ada sumbangan tersendiri untuk negeri dan negara, dan apa yang mereka kecapi harus dihargai.



