MUKAH: Sebanyak RM12,900 diperuntukkan menerusi Insentif Pendidikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
Insentif tersebut disampaikan kepada 43 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, pemberian insentif tersebut merupakan tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, malah menjadi suntikan motivasi kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita serta mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Diharapkan insentif yang diberikan ini menjadi galakan kepada pelajar untuk terus berusaha menjadi insan yang berilmu, berkemahiran dan berbakti kepada masyarakat serta negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan DUN Balingian di Pusat Khidmat Balingian, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan pendidikan perlu terus diberi keutamaan.
Jelasnya, golongan muda merupakan aset penting yang bakal menentukan hala tuju pembangunan masyarakat dan negeri pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Yakub memberitahu bahawa kejayaan yang diraih ialah hasil usaha gigih pelajar, selain sokongan ibu bapa serta bimbingan para guru yang sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak.
“Belajar bersungguh-sungguh, jaga nama baik keluarga dan kawasan Balingian serta kembali ke kawasan kita kelak untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri yang kita cintai,” tambahnya.




