ALOR GAJAH: Duta Riang Villa di Alor Gajah menawarkan pengalaman unik menikmati durian di tengah dusun sambil berinteraksi dengan haiwan di mini zoo berhampiran.
Kawasan seluas 42 ekar yang menempatkan kira-kira 1,600 pokok durian itu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti memanah dan menunggang ATV bagi menarik pengunjung sepanjang tahun.

Pengarahnya, Koh Kai Xiang menjelaskan bahawa pendekatan tersebut bertujuan memberikan nilai tambah kepada pengunjung dengan menawarkan pengalaman menyeluruh mengenai kualiti dan keselamatan buah durian selain sekadar menikmati keenakannya.

Menurut Bernama, pengunjung juga berpeluang mempelajari teknik penanaman serta penjagaan durian daripada pekerja dusun, Ahmad Safwan Fathi Zainuddin, yang berkongsi keunikan kaedah cantuman varieti pada pokok yang sama.
Inisiatif yang bermula sejak tahun 2025 itu berjaya menarik minat pelancong luar negara termasuk dari Korea Selatan kerana kualiti buah serta pengetahuan yang dikongsi sepanjang musim durian di Melaka.



