KUCHING: Perjuangan kontinjen Sarawak dalam acara Tekken 8 individu dan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB), e-Sukan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir hari ini dengan pencapaian terbaik kelompok lapan teratas.
E-sukan yang pertama kali dipertandingkan dalam temasya dwitahunan ini menawarkan sebanyak tujuh pingat emas daripada acara MLBB berpasukan, PUBG Mobile berpasukan, e-Football individu, Tekken 8 individu dan perlumbaan individu, beregu dan masa terpantas.
Esok, acara yang tinggal untuk wakil Sarawak berentap adalah menerusi e-Football individu diwakili Mohammad Khafiman Sofian dan Hazwan Faiq Hailwan meneruskan perjuangan kelompok 16 terbaik, bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Bagi acara PUBG Mobile berpasukan pula, keputusan penuh hanya diketahui pada esok (Jumaat) ditentukan menerusi pungutan mata tertinggi dengan setakat semalam, Sarawak berada di kedudukan ke-14, manakala Brunei, Melaka dan Johor berada di kelompok tiga teratas.
Bagi MLBB, pasukan Sarawak melepasi saingan peringkat Kumpulan B apabila berada di kedudukan keempat terbaik dan mara ke saingan seterusnya, termasuk Sabah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu.
Bagaimanapun, tuan rumah terkandas dalam saingan tersebut apabila tewas 2-0 kepada Johor.
Sementara untuk acara Tekken 8, wakil Sarawak, Mohamad Tarmini Hafizi Jarpri, 21, terdahulu berjaya melayakkan diri ke peringkat lapan terbaik pada Rabu, menduduki tempat kedua Kumpulan D.
Selepas memenangi tiga perlawanan dan tewas satu perlawanan meletakkan Sarawak di belakang Melaka yang memperoleh empat kemenangan. Turut disaingi peserta dari Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.
Bagaimapun, dalam saingan kelompok lapan terbaik hari ini, Tarmini disingkirkan oleh Shao Ern Chuah dari Pulau Pinang dengan keputusan 2-0.
Pemain Sarawak itu kemudiannya diturunkan ke kelompok kalah mati dan berentap dalam pertarungan sengit menentang pemain Perak, Amir Mahdi Ainin.
Bagaimanapun, Tarmini tewas 2-1 kepada Amir.
Sementara bagi acara perlumbaan yang berakhir hari ini, barisan atlet Sarawak berjaya memperoleh masing-masing satu pingat perak dan gangsa menerusi kategori beregu dan individu.



