KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) melalui Kelab Kakitangan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LAKSAMANA) menganjurkan Karnival Sukan Piala Datu GM LCDA 2025 edisi ke-4 bertemakan Satu Pasukan, Satu Semangat.
Karnival dirasmikan oleh Pengurus Besar LCDA, Datuk Zaidi Mahdi di Pikabol, Pending semalam menghimpunkan hampir 200 warga kerja termasuk daripada anak-anak syarikat LCDA.
Lima pasukan ditubuhkan dengan nama diilhamkan daripada tokoh pahlawan Sarawak – Rentap, Rosli Dhobi, Syarif Masahor, Patinggi Ali dan Orang Kaya Pemanca Dana @ Bayang.
Ujar kenyataan, pasukan ini dibarisi kakitangan enam anak syarikat LCDA iaitu LCDA Real Estate Sdn Bhd (LRESB), LCDA Agri Business Sdn Bhd (LABSB), Magna Focus Sdn Bhd (MFSB), Pengurus Harta Pelita Sdn Bhd (PHPSB), Puncak Borneo Development Sdn Bhd (PBDSB) dan Faradale Development Sdn Bhd (FDSB).
“Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan secara bersiri bermula dengan pickleball, futsal, badminton, ping pong dan dart, manakala acara penutup tenpin boling dijadualkan berlangsung pada November depan,” jelas kenyataan.
Menurut penganjur, karnival ini bukan sahaja menjadi platform persaingan sihat, malah menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak memperkukuh tahap kesihatan serta produktiviti penjawat awam.
Lebih menarik, hampir 50 warga kerja LCDA yang pernah mewakili Sarawak dalam pelbagai kejohanan termasuk Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK), Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri Se-Malaysia (SUKSEM), Sukan Nasional Perancangan Bandar dan Desa (SUKNA) dan Sukan Kementerian Sarawak (SUKEMSAR) turut menyertai karnival ini sekali gus menjanjikan persaingan sengit.






