LUNDU: Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Lundu membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali program universiti milik Kerajaan Sarawak yang menawarkan pilihan pengajian lebih dekat, menjimatkan dan berkualiti.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata usaha ini sekali gus mengurangkan kebergantungan merantau ke Semenanjung yang menuntut kos lebih tinggi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa ekspo tersebut turut menghimpunkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak serta ratusan pelajar lepasan SPM dan STPM bagi mendapatkan maklumat laluan pendidikan serta kerjaya.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 Lundu di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu, semalam.
Beliau turut menekankan inisiatif utama Kerajaan Sarawak, iaitu pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun 2026, sebagai jaminan tiada anak Sarawak tercicir kerana kekangan kewangan.
Dalam pada itu, Azizul merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Lundu sebagai pengelola program serta menggalakkan pelajar memanfaatkan reruai pameran, termasuk Yayasan Sarawak yang menyediakan maklumat bantuan kewangan mengikut kelayakan.
Beliau turut menggesa pelajar Tingkatan 5 dan lepasan SPM serta STPM untuk bertanya, mencari maklumat dan merancang hala tuju masa depan.
“Harapan saya agar daerah Lundu dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan, daripada doktor, jurutera hingga pendidik yang mengharumkan nama komuniti,” ujarnya.



