Elak wujudkan Kluster Tahun Baharu Cina

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan wujudnya Kluster Tahun Baharu Cina, tegas Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, walaupun negara berhadapan dengan wabak Covid-19, namun semangat perayaan itu tetap semakin dirasai.

“Saya ingin mengingatkan rakyat Sarawak untuk memainkan peranan masing-masing dan mengelakkan wujudnya Kluster Tahun Baharu Cina (TBC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kui Hian bersama Datuk Bandaraya MBKS Datuk Wee Hong Seng serta kaunselor MBKS yang lain bersama dalam menghidupkan lampu perayaan di Pasar MBKS dan Jalan Padungan sempena dengan perayaan TBC yang hampir tiba.

Beliau berkata, semua rakyat amat terjejas semasa penularan wabak ini tetapi setiap rakyat perlu ingat akan semangat yang kita ada dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, ini kerana rakyat Sarawak tetap bersama walau dalam kegembiraan atau kesusahan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

“Jangan hanya sekadar mematuhi polisi dan prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Tetapi anda juga tidak dibenarkan untuk mengadakan sambutan TBC secara besar-besaran serta tiada rumah terbuka selain daripada ahli keluarga dengan jumlah tidak lebih daripada 20 orang dalam satu masa.

“Ini supaya kita akan dapat kekal sihat dan hidup semasa wabak ini dan dapat meeayakan lebih banyak sambutan TBC pada masa akan datang,” tegasnya.

Beliau memberitahu, kewujudan beberapa kluster baharu di Sarawak disebabkan oleh aktiviti berkumpul dalam kalangan keluarga.

“Justeru, sekali lagi saya tegaskan Ang Pau yang terbaik pada sambutan TBC kali ini adalah Duduk di Rumah,” ujarnya.

Kui Hian terus menasihatkan orang ramai agar sentiasa memakai pelitup separuh muka, elakkan kawasan yang sesak dan membasuh tangan menggunakan sabun atau cecair sanitasi tangan.

“Elakkan daripada mengadakan aktiviti berkumpul secara besar-besaran, sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak berjabat tangan.

“Sayangi keluarga anda dan pastikan mereka selamat daripada Covid-19,” tambah beliau lagi.

Suara Sarawak