Elektrik sumber pendapatan Sarawak

KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim membantah dakwaan Sarawak Report bahawa Sarawak telah membazirkan dana awam ke atas empangan hidro elektrik sedia ada.

Sebaliknya, beliau menegaskan sumber elektrik yang ada akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Sarawak.

“Saya yakin bekalan elektrik yang merupakan tenaga boleh diperbaharui akan menjadi salah satu eksport utama Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad menambah empangan-empangan di Sarawak termasuk Empangan Bakun juga adalah untuk menarik kemasukan pelaburan asing ke Sarawak.

Katanya ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat Sarawak.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa adalah sesuatu perkara yang baik untuk Sarawak mengeksport bekalan elektrik seperti kepada Brunei, Kalimantan termasuk Sabah.

“Saya tidak melihat ini salah sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada sumber hasil untuk Sarawak,” katanya.

Justeru, Ahmad menyifatkan tindakan Sarawak Report menyerang kerajaan Sarawak mengenai pemilikan empangan hidro elektrik sebagai tidak bertanggungjawab.

“Apa yang telah mereka (Sarawak Report) lakukan untuk rakyat Sarawak?

“Mereka hanya tahu mengkritik serta menyerang kerajaan negeri, bukannya mewujudkan pekerjaan kepada penduduk setempat atau membina ekonomi negeri,” katanya.

Sarawak Report baru-baru ini menerbitkan satu artikel yang mendakwa Sarawak telah membazirkan dana awam ke atas empangan hidro elektrik.

Ia mengaitkan kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sarawak boleh mengeksport elektrik kepada Indonesia untuk membangunkan ibu negara di Kalimantan kerana mempunyai bekalan elektrik yang banyak.