KEPALA BATA: Sebanyak 14 penghuni tinggal sehelai sepinggang termasuk pelbagai persiapan menyambut Deepavali akan datang musnah, selepas empat buah rumah didiami mereka di Kampung Kovil, di sini terbakar dalam kejadian kebakaran, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan pada 10.31 malam dan jentera pertama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas terus ke lokasi kebakaran.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati api sedang marak dan kebakaran melibatkan tiga buah rumah setingkat dan sebuah kediaman jenis dua tingkat yang terletak berselahan, dengan setiap rumah berkeluasan kira-kira 75 meter persegi.
“Komander Operasi membuat “size up” dan mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan PPE lengkap menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal daripada terus merebak ke rumah lain di situ pada 10.55 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran pada 12.25 tengah malam sebelum meneruskan dengan kerja-kerja “overhaul”, bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi tamat sepenuhnya 1.21 pagi serta kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata maklumat awal mendapati semua penghuni termasuk dua kanak-kanak selamat dan berjaya keluar sebelum ketibaan PKO di lokasi kejadian serta punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA




