KUCHING: Kegiatan jenayah Geng Mar yang aktif menyamun secara berkumpulan menggunakan senjata yang menyasarkan premis-premis 24 jam di sekitar daerah ini akhirnya tumpas di tangan polis.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kumpulan yang didalangi empat lelaki warga tempatan berumur antara 24 hingga 33 tahun itu ditangkap pada 16 Jun lalu.

Katanya, kesemua suspek ditangkap dilokasi berasingan iaitu Jalan Merdeka, Petra Jaya, Samariang, Tabuan Jaya dan sekitar bandar raya ini oleh Cawangan D9, Siasatan Khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap keempat-empat suspek didapati tiga positif dadah Methamphetamine manakala seorang positif dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas senjata berupa sebilah pisau, pakaian dan kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai telah digunakan oleh suspek semasa kejadian.
Beliau berkata, suspek direman selama lima hari sehingga 23 Jun ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan secara berkumpulan dengan menggunakan senjata maut,” katanya.
Justeru katanya, dengan tertangkapnya ahli kumpulan tersebut, pihak polis telah berjaya empat kes samun berkumpulan dan bersenjata yang dilaporkan di daerah ini dengan anggaran kerugian keseluruhan sejumlah RM4,000.






