Empat ordinan digubal tangani Covid-19

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak empat ordinan yang digubal Kerajaan Persekutuan hingga 16 Mac lalu dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, yang pertama ialah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, apabila  memperuntukkan kuasa perlu kepada kerajaan untuk menguruskan darurat Covid-19;

“Kedua ialah Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, bagi mengadakan peruntukan yang perlu bagi menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan;

“Ketiga ialah Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021, bagi menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Malaysia Prihatin Bahagian Samarahan di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak di sini pada Selasa.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, ordinan yang keempat ialah Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) (No.2) 2021, yang digubal bagi mengurangkan impak penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Tegasnya, Proklamasi Darurat 2021 ini tidak mengubah dan tidak memberi kesan langsung terhadap gaya hidup rakyat Malaysia.  “Kita masih boleh keluar bekerja dan beriadah kerana tiada perintah berkurung seperti darurat seperti zaman komunis.

“Kegiatan ekonomi masih berjalan, walaupun dengan pematuhan SOP dan dijalankan dengan gaya norma baharu,”jelasnya. Namun menurutnya, ia perlu untuk kerajaan memberi fokus dan usaha dalam menangani pandemik Covid-19 dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara kembali bangkit dan pulih secepat mungkin.

“Jangan terpengaruh dengan tohmahan dan persepsi negatif yang cuba ditanamkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap proklamasi darurat ini.  “Kita tidak perlu terjerumus sama ke dalam permainan tidak sihat demi kepentingan peribadi atau politik sesetengah pihak semata-mata,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kejayaan penghasilan vaksin Covid-19 telah memberi harapan baharu kepada dunia untuk keluar dari belenggu pandemik ini.  “Nama seperti PfizerBioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson’s Janssen memberi nafas lega kepada dunia, yang berharap boleh membawa keadaan untuk kembali semula seperti sebelum ini.

“Dalam memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok, iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus daripada penduduk Malaysia mendapat vaksin Covid-19, kerajaan mengumumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.  Tambahnya program imunisasi ini satu program secara sukarela.

“Walaupun kerajaan tidak mewajibkan atau memaksa mana-mana pihak mengambil vaksin, namun ia amat digalakkan dan semua penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas digesa mengambilnya.  “Sebenarnya, tiada alasan untuk mana-mana pihak untuk tidak mahu mengambil bahagian.

“Ini kerana kerajaan telah dan akan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk memperoleh vaksin semata-mata memastikan 70 peratus penduduk Malaysia, iaitu lebih kurang 23.6 juta penduduk warganegara mendapat akses kepada vaksin ini secara percuma,” kata Nancy. Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Suara Sarawak