BINTULU: Empat pasukan iaitu WFL FC, Ensumbar FC, Lakin Kayau FC dan Project Park FC kini berada pada landasan terbaik untuk memburu tiket ke final kempen Liga Bintulu, Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) Edisi Ke-3 2026.
Kesemua pasukan terbabit menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik (separuh akhir) selepas menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat suku akhir hujung minggu lalu.

WFL FC menumpaskan Badakus FT dengan jaringan 2-0, manakala Ensumbar FC menang tipis 2-1 ke atas Umbaster FC.
Diikuti kemenangan 1-0 Lakin Kayau FC ke atas WFL Youth FC, manakala Project Park FC mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas IPD Bintulu.
Presiden BIFA, Haji Sophie Shariee, mengucapkan syabas kepada keempat-empat pasukan terbabit atas kejayaan mara ke peringkat separuh akhir.

Beliau berharap kesemua pasukan terbabit dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam mengharungi perlawanan separuh akhir hujung minggu ini.
“Syabas kepada keempat-empat pasukan ini kerana berjaya mara ke separuh akhir.
“Kita menjangkakan satu pertembungan sengit akan berlaku,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Sophie berkata aksi separuh akhir akan berlangsung hujung minggu ini. WFL FC akan menentang Ensumbar FC pada Sabtu ini di Padang Sintetik BDA pada 3.30 petang.
Sementara itu, Lakin Kayau FC akan menentang Project Park FC pada Ahad di Stadium Bintulu pada 3.30 petang.




