BINTULU: Meskipun saingan suku akhir kempen Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) Edisi Ke-3 2026 belum bermula, empat pasukan terawal sudah dikenal pasti untuk berentap dalam kelompok lapan terbaik.
Setiausaha Kehormat BIFA, Musabaqah Meliki berkata, empat pasukan terbabit merupakan penghuni tangga teratas bagi keempat-empat kumpulan.
Antaranya ialah WFL FC (Kumpulan A), Ensumbar FC (Kumpulan B), WFL Youth FC (Kumpulan C) dan PPFC (Kumpulan D).

“Kesemua empat pasukan terbabit masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tiga perlawanan.
“Secara automatik, empat pasukan ini sudah sah layak ke suku akhir,” ujar Musabaqah kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun katanya, empat lagi calon pasukan masih belum dapat dipastikan.
Beliau menambah, masih terdapat jurang mata yang tidak begitu ketara membabitkan kedudukan empat lagi pasukan.
“Melihat kepada kedudukan pasukan yang menghuni tangga kedua setiap kumpulan, ia tidak begitu ketara.
“Ada yang mungkin dibezakan dengan jaringan, kita tunggu keputusan perlawanan hujung minggu ini,” tambahnya.
Beliau percaya perlawanan hujung minggu ini dijangka sengit kerana setiap pasukan mahu meraih kemenangan untuk memuktamadkan baki empat slot suku akhir sedia ada.



