KUCHING: Empat pegawai Imigresen antara yang ditahan kerana bersekongkol dengan sindiket menyeludup warga asing disenarai hitam ke negara ini.
Mereka ditahan dalam Operasi Kenyalang di bandar Bintulu yang turut membawa kepada penangkapan ketua sindiket ini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket tersebut digempur oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya dan pegawai operasi JIM Sarawak kira-kira 9.45 malam, Jumaat lalu.

Katanya, operasi dilaksanakan setelah pemerhatian dan risikan dijalankan selama tiga bulan di sebuah premis kediaman di bandar Bintulu.
“Seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun dipercayai ketua kepada sindiket berkenaan ditahan ketika mengurus warga asing ini di rumah penampungan.
“Pasukan operasi juga telah berjaya menahan seramai 63 orang warga Indonesia yang terdiri daripada 37 lelaki dan 26 perempuan berumur antara 22 tahun hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata , seramai 30 orang telah ditahan di rumah transit berkenaan manakala seramai 33 orang lagi ditahan semasa pemeriksaan bas dilakukan di sekitar bandar Bintulu.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap dua buah bas yang disyaki membawa warga asing ini berdasarkan maklumat yang di terima,” jelasnya.
Selain itu katanya, pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan 3 juta Rupiah.

Khairul memberitahu, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenarai hitam dengan dibantu oleh pegawai Imigresen.
Jelasnya, sindiket akan menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.
“Pegawai imigresen ini akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya.
“Warga asing yang telah mendapat cap keselamatan ini seterusnya akan di bawa ke rumah-rumah transit yang telah ditetapkan oleh sindiket sebelum mereka ini dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan juga Lapangan Terbang Bintulu,” katanya.
Tambahnya, mereka ini akan meneruskan perjalanakan ke semenanjung melalui laluan domestik.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, sindiket ini telah beroperasi hampir lapan bulan yang lalu iaitu apabila pintu sempadan negara di buka.
Jelasnya, warga asing yang hendak masuk ke Malaysia dikenakan bayaran sekitar RM5000 ke RM6000 seorang kepada sindiket. Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan.
Katanya, kesemua warga asing ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.
Sementara beliau berkata, empat pegawai imigresen dan ketua sindiket pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.