KONGSI KEGEMBIRAAN… Datuk Ripin Lamat (tengah) sempat merakam gambar bersama atlet selesai majlis penyampaian pingat.
KUCHING: Keceriaan jelas terpancar pada wajah pemain skuad boling padang Sarawak setelah berjaya meraih empat pingat – dua emas dan dua perak pada temasya Sukan Borneo, Kuching 2025 di Arena Boling Padang, Petra Jaya petang tadi
Dua pingat emas diperoleh dari kategori berpasangan lelaki menerusi Muhammad Zikrullah Zaidi dan Rosman Majunit.
Di samping kategori empat berpasangan wanita menerusi Dayang Nur Ezaty Sharfieza Abang Gadisa, Nur Hidayah Faizal, Mya Zara Amir Nur Fitrah Rosmadi dan Nur Fitri Armisya Abdul Rahman Abdullah.
Sambil, dua pingat perak diperoleh dalam kategori perseorangan wanita, Nur Amizah Muhammad Amirulqadar dan tiga berpasangan lelaki, Mohammad Amirul Hafizi Jaffar, Muhammad Ramadhan Mohamad Jeffy, Abdul Rahman Amminuddin dan Mohammad Aryan Nazrullah Nazaruddin.
“Empat pingat tersebut diharap mampu mencetus semangat juang kepada pemain lain yang akan turun berentap hari ini,” ujar Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Nuruljumaniza Tuah ketika mengulas lanjut kejayaan pemainnya.
Beliau juga berharap berlaku pertambahan pingat berterusan dalam beberapa kategori lain yang akan dilangsungkan hari ini.
Nuruljumaniza turut memuji prestasi luar jangka dipamer barisan atlet dari skuad bayangan Sukma pada setiap perlawanan.
“Gandingan mantap selain persefahaman jitu ditunjukkan menerusi perlawanan dilalui mencakupi empat kategori menyaksikan kem boling padang Sarawak berjaya mara ke pentas final,” tambah beliau.



