Evolusi jenayah dalam kalangan remaja

SETIAP hari ada sahaja paparan berita mengenai pelbagai jenis jenayah yang dilakukan oleh manusia sejagat pada masa kini. Ditambah dengan kuasa penyebaran media sosial, masyarakat cenderung menjadi pemberita sendiri yang menaburkan berita-berita fitnah, sebagai tambahan untuk menguatkan paparan di media masing-masing.

Boleh dikatakan, perlakuan jenayah tidak lagi boleh diukur mengikut jantina mahupun umur. Bahkan ada anak kecil yang di bangku sekolah sepatutnya sudah mula diajar untuk berbuat jahat.

Umur bukan ukuran

Masyarakat kini sedia maklum bahawa golongan dewasa tidak lagi menjadi kumpulan pertama yang melakukan jenayah. Kini kita dapat lihat golongan remaja yang ramai terjebak dengan kehidupan sosial bebas hingga menyebabkan kelakuan jenayah bukan lagi perkara yang perlu ditakuti.

Jenayah utama yang kerap melibatkan golongan remaja ialah dadah. Mereka menganggap dadah sebagai alat permainan dan bukannya perkara memudaratkan, apatah lagi benda tersebut menjadi permainan biasa golongan seusia mereka di negara luar.

Kebanyakan remaja berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun akan mula mendekatkan diri dengan dadah, terutamanya dadah jenis ganja. Mereka merasakan jika sudah mencuba benda itu, ia seolah-olah seseorang yang sudah cukup matang atau dewasa.

Selain itu, jenayah seperti mencuri turut banyak melibatkan golongan remaja. Malah pada tahun lalu terdapat tangkapan dua remaja sekolah menengah terlibat kes pecah rumah. Berdasarkan situasi ini, boleh dikatakan mereka (remaja) mengikut tindak-tanduk persekitaran yang tidak sihat.

Persekitaran antara punca utama mengapa mereka boleh terlibat dalam gejala jenayah seperti itu.

Jalan pintas

Dalam pada itu, jenayah kecurian baru-baru ini banyak berlaku dalam kalangan kumpulan dewasa tidak mengira tempat. Misalnya di premis, dan kenderaan. Malah ada dalam kalangan pencuri sanggup mengambil barang-barang dapur seperti tong gas dan, peralatan memasak yang dilihat mampu dijadikan sebagai barang bernilai untuk menghasilkan duit.

Majoriti pencuri yang ditangkap asalnya merupakan penagih dadah yang cukup terdesak dan boleh dikatakan golongan ini amat kesempitan wang untuk membeli bekalan dadah. Ketiadaan peluang pekerjaan atau mana-mana premis tidak sanggup mengambil bekerja individu seperti mereka, sudah lali dijadikan alasan melakukan perbuatan ini apabila ketahuan atau ditangkap.

Orang sebegini sebenarnya berjiwa malas dan sanggup memilih jalan pintas dengan mencuri. Tiada alasan untuk tidak memiliki kerja sedangkan pelbagai pilihan kerja.

Bermuka-muka

Berbicara soal tertangkapnya pencuri, adakah dianggap sebagai adil umum yang menangkapnya terus menghukum mereka dengan cara memukul dan membelasahnya terus di tempat kejadian.

Kebiasaannya penjenayah yang berjaya di tempat umum tentunya akan mengalami kesan teruk akibat dibelasah oleh orang awam mahupun orang yang mempunyai pertalian dengan si mangsa.

Sejurus kemudian, barulah suspek akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diberi tindakan lanjut terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan.

Suara Sarawak