Dua atlet Sukan Malaysia (Sukma) memilih untuk mengikuti pengajian di Akademi Aeroangkasa, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu.
Atlet pencak silat, Fakhridzul Farhan Alias, 21, memilih untuk mengikuti program Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat (Certifi cate In Aircraft Maintenance Engineering).
Menurut Fakhridzul Farhan, ia menjadi impian sejak kecil untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan.
Dia pernah mencuba nasib memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penerbangan di agensi lain, namun disebabkan kekangan kewangan Fakhridzul terpaksa menguburkan hasrat tersebut.
Dengan adanya program penerbangan yang ditawarkan Akademi Aeroangkasa CENTEXS Lundu, ia memberi sinar harapan baharu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diimpikan selama ini.
Selain itu, seorang lagi atlet Sukma yang mengikuti pengajian aeroangkasa di CENTEXS ialah atlet muda Sarawak dalam acara berbasikal, Muhammad Danish Haikal Abdullah, 18. Muhammad Danish memilih untuk mengikuti program Kepingan Logam Aeroangkasa (Certifi cate in Aerospace Sheet Metal).
Dia menzahirkan rasa syukur dan teruja kerana diterima masuk untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
Tambahnya, demi menjamin masa hadapan yang cerah, dia mencuba nasib dengan mempelajari ilmu kemahiran baharu.

Minat mendalam dalam bidang kapal terbang mendorong Muhammad Danish untuk terus mendalami bidang ini.
Membawa harapan ibu sebagai pendorong utama menjadi pembakar semangat biarpun jadual latihan atlet yang padat.
Selain disiplin katanya, suasana di kampus yang begitu damai turut membantu dalam perkembangan diri dan waktu latihannya.
HARAPAN
Harapan Muhammad Danish selepas tamat pengajian adalah untuk terus berkhidmat kepada Sarawak sebagai pakar dalam bidang penerbangan serta menyumbang emas untuk SUKMA yang akan datang.
Jadual latihan dan pembelajaran yang padat tidak mematahkan semangat dua anak muda Sarawak ini untuk mengejar impian menjadi pakar dalam bidang penerbangan dengan harapan dapat memberi timbal balik kepada Sarawak suatu hari nanti.
Minat dari zaman kanak-kanak kini hampir tercapai dengan wujudnya CENTEXS sebagai pusat aeroangkasa baharu.
Semoga langkah berani CENTEXS dalam menyahut seruan pemimpin Sarawak kita membuahkan hasil dengan melahirkan tenaga kerja mahir pada masa hadapan.
CENTEXS kini berkembang dengan memperkenalkan akademi baharu yang memfokuskan bidang penerbangan dan aeroangkasa pertama di Sarawak.
Dalam menjayakan impian kerajaan Sarawak memperkasakan bidang penerbangan dan aeroangkasa, CENTEXS membuka langkah baharu dengan menyediakan latihan kemahiran bidang penerbangan kepada anakanak muda Sarawak khasnya sebagai persediaan jangka masa panjang industri ini di Sarawak.
LIMA PROGRAM BAHARU
Dengan memperkenalkan lima program baharu di bawah akademi aeroangkasa, CENTEXS menarik minat ratusan permohonan dalam kalangan belia.
Menurut Ketua Kampus CENTEXS Lundu, Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman, semenjak akademi ini dilancarkan dan pengambilan dibuka, ramai belia dari seluruh Sarawak memohon untuk mengikuti pengajian ini.
“Selepas akademi dan program ini dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita agak terkejut dan teruja apabila mendapati ramai anak-anak Sarawak yang sangat berminat untuk mengikuti program di akademi ini.
“Ini membuktikan bahawa program yang kita tawarkan ini bukan sahaja membantu dalam menyediakan pekerja mahir dalam industri penerbangan, malah memberi ruang dan peluang kepada anak-anak Sarawak untuk mendalami serta mengikuti pengajian ini di Sarawak,” katanya.
Beliau juga yakin dengan adanya kerjasama antara pihak CENTEXS dengan industri penerbangan sama ada tempatan ataupun antarabangsa, ia menjadikan pengajian di akedemi tersebut bukan untuk memperoleh ilmu semata-mata, namun terus mendapat tempat dalam industri.



